Kasut jenama Converse sudah tidak asing di lagi di mata dunia. Apabila bercakap mengenai kasut jenama Converse ini, perkara pertama yang bermain di fikiran kita adalah logo bintang besar di tengah bulatan putih. Ia merupakan logo ikonik yang senang untuk diingati dan terasa dekat dengan budaya pop anak muda.
Dari semua kasut yang Converse pernah dikeluarkan, Converse Chuck Taylor atau turut dipanggil Converse All Stars adalah antara yang paling mencuri tumpuan. Pencinta kasut Converse di Malaysia pasti mempunyai sekurang-kurangnya sepasang kasut Converse Chuck Taylor.
Sejarah Converse bermula sebagai kasut yang dikhaskan untuk peminat bola keranjang. Namun, seiring dengan waktu, kasut ini juga telah dicipta untuk kegunaan harian.
Kisah terciptanya Converse Chuck Taylor adalah unik dan berbeza daripada jenama kasut yang lain.
Mengulas lanjut mengenai reka bentuk Converse Chuck Taylor, kasut ini sangat ringkas dan kasual serta mudah dipadankan dengan apa jua pakaian. Dari yang tinggi, di atas buku lali, hinggalah yang rendah di bawah pergelangan kaki.
Antara ciri khas Converse Chuck Taylor adalah mempunyai tapak dengan getah yang tebal. Ia diperbuat daripada kanvas dan mempunyai logo bintang yang tertulis ‘Converse All Star Chuck Taylor’ di sebelahnya.
Siapakah Chuck Taylor?
Chuck Taylor atau nama sebenarnya Charles Hollis Chuck Taylor adalah seorang lelaki yang mempunyai keperibadian yang luar biasa dan memiliki sikap merendah diri. Beliau adalah seorang pemain bola keranjang Amerika Syarikat yang dilahirkan di Indiana pada tahun 1901. Setelah tamat sekolah menengah, Taylor mula bermain untuk pelbagai pasukan profesional.
Beliau telah menaikkan populariti bola keranjang di peringkat antarabangsa dan sehingga kini ia telah menjadi antara salah satu sukan utama di dunia.
Kelahiran pertama Converse All Star pada tahun 1917 tidak memiliki nama Chuck Taylor. Penjenamaan semula hanya berlaku beberapa tahun kemudian setelah Taylor bergabung dengan pasukan Converse pada tahun 1921 dan menjadi jurujual kasut.
Taylor merupakan seorang pemain bola keranjang dan juga jurujual kepada sebuah jenama kasut. Walau bagaimanapun, tiada siapa pun tahu apakah yang mendorong Taylor untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Ada yang mengatakan bahawa dia sangat meminati reka bentu All Star sehingga dia ingin bekerja di Converse.
Menurut Hall of Fame Bola Keranjang, yang menyenaraikan Taylor sebagai salah seorang legenda, dikatakan bahawa pada tahun 1921, Taylor telah bertindak ‘menyerang’ Converse di pejabat jualan mereka di Chicago dan mengeluh bahawa kasut mereka telah mencederakan kakinya. Taylor kemudiannya meyakinkan para eksekutif untuk membuat kasut khas untuk permainan bola keranjang.
Converse yang bersetuju dengan cadangan tersebut telah memberi kebenaran kepada Taylor untuk membantu Converse dalam mereka bentuk semula kasut ikonik tersebut dan Taylor juga ditugaskan sebagai penasihat bola keranjang di Amerika. Beliau juga dilantik sebagai pemain dan jurulatih untuk pasukan Converse All-Stars yang bermain di liga industri syarikat.
Sepanjang Taylor memegang jawatan tersebut, beliau telah mencipta Converse Basketball Yearbook, di mana pemain, pelatih, pasukan dan momen terhebat yang pernah dicipta oleh mereka direkodkan dan diingati.
Oleh kerana jasa dan kejayaannya mempromosikan kasut dan sukan bola keranjang, Converse pada tahun 1932 akhirnya membuat keputusan untuk mengabadikan nama Chuck Taylor bersama-sama dengan jenama mereka.
Dilaporkan bahawa tiada perjanjian yang dimuktamadkan. Taylor hanya menerima gaji dari Converse dan tidak mendapat sebarang komisen daripada jenama kasut yang memakai namanya.

Kini, ramai pemain bola keranjang profesional telah memakai Converse All Stars. Ia bahkan dipakai oleh atlet Olimpik serta tentera Amerika Syarikat semasa latihan Perang Dunia Kedua dan hampir 100 tahun kemudian, ia tetap menjadi kasut yang diminati ramai.