Kenali Azerbaijan, Mendapat Gelaran Negara Api Kerana Sering Terbakar

Sebaik sahaja pesawat anda mendarat di landasan Baku yang terletak di ibu negeri Azerbaijan, anda akan disambut dengan pemandangan Menara Api yang juga merupakan lambang ikonik bagi negara itu. Selain itu, api merupakan elemen yang begitu sinonim dengan negara ini.

Kelihatan seolah-olah api yang sedang menyala pada bahagian atas bangunan yang meruncing serta melengkung. Bangunan itu terletak di lereng bukit yang menghadap ke Laut Kaspia. Bukan itu sahaja, ia juga merupakan representasi sempurna sejarah dan budaya Azerbaijan.

Menjelang pada waktu malam, seluruh kompleks bangunan kelihatan seperti nyalaan api besar. Dipancarkan oleh 10,000 lampu jenis LED berkuasa tinggi. Walaupun begitu, ia bukanlah salah satu sebab mengapa Azerbaijan digelar sebagai “Negara Api”.

Negara Api, gelaran yang diberikan pada Azerbaijan kerana terdapat beberapa tempat di Azerbaijan yang diliputi oleh api misteri. Dipercayai api tersebut telah menyala sejak ribuan tahun dan tidak pernah padam walaupun ketika angin kuat, hujan mahupun salji turun.

Difahamkan, sebenarnya nyalaan api itu kesan daripada simpanan gas asli Azerbaijan yang banyak. Ada kalanya, gas ini akan bocor ke permukaan bumi. Jika dinyalakan, ia akan terbakar dan tidak terpadam selagi tidak kehabisan sumbernya.

Kebakaran seperti ini banyak berlaku di seluruh Azerbaijan. Namun, kerajaan Soviet pada kurun ke-20 melakukan pengekstrakan gas secara komersial hingga menyebabkan tekanan gas di dalam tanah menurun dan banyak kebakaran terpadam.

Kini, tempat ‘api misteri’ di Azerbaijan semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Salah satu tempat nyalaan yang menjadi tarikan para pengunjung adalah Yanar Dag atau ‘Gunung Api’ yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Baku.

Sejarah disebalik api misteri

kenali-azerbaijan-mendapat-gelaran-negara-api-kerana-sering-terbakar
Sumber: Liputan 6

Kisah mengenai api misteri ini banyak terdapat dalam catatan sejarah dunia. Para pedagang yang menggunakan Jalan Sutera banyak menceritakan kejadian api di Azerbaijan kepada dunia luar pada abad 2 SM hingga ke-18.

Marco Polo, seorang pengembara terkenal pernah menulis tentang fenomena misteri ini ketika dia melalui Azerbaijan pada abad ke-13. Dikatakan, catatan empayar Rom yang bertarikh 2,500 tahun lalu juga telah menceritakan bahawa pengekstrakan minyak dilakukan di Azerbaijan.

Menurut mitos Yunani pula, Zeus dikatakan telah merantai Prometheus di Pergunungan Kaukakus kerana mencuri api daripada para dewa untuk diberikan kepada manusia.

kenali-azerbaijan-mendapat-gelaran-negara-api-kerana-sering-terbakar
Lukisan Prometheus
Sumber: Atomiyeme

Selain daripada itu, empayar Parsi kuno pula menamakan lokasi jajahan mereka di Parsi Tengah meliputi Azerbaijan, Armenia dan sebahagian Iran sebagai “Aturpatakan” yang membawa maksud “tempat di mana api suci dipelihara”. Hal ini menunjukkan bahawa fenomena api yang tidak padam ini sudah wujud sejak ribuan tahun lalu lagi.

Penganut Majusi dan Hindu

kenali-azerbaijan-mendapat-gelaran-negara-api-kerana-sering-terbakar
Kuil Api Ateshgah
Sumber: The Statesman

Terdapat beberapa tempat selain Yanar Dag yang menjadi tumpuan pelancong seperti Yanar Bulag dan Kuil Api Ateshgah.

Sehubungan dengan itu, Azerbaijan menjadi tumpuan penganut agama Majusi dan Hindu. Sejak zaman dahulu lagi, jemaah Majusi yang datang dari luar telah menjadikan Kuil Api Ateshgah sebagai tapak suci.

Diasaskan di Iran kuno, Majusi merupakan agama tertua yang masih diamalkan sehingga hari ini. Api adalah penghubung antara manusia dan dunia ghaib serta perantaraan bagi mencapai kesempurnaan rohani buat penganut Majusi.

Kebanyakan penganut Majusi melarikan diri dari Iran dan Azerbaijan menuju ke Utara India apabila orang Arab datang dengan membawa ajaran Islam.

Keadaan Azerbaijan selepas Kesatuan Soviet

kenali-azerbaijan-mendapat-gelaran-negara-api-kerana-sering-terbakar
Sumber: Deviantart

Azerbaijan merupakan sebuah negara merdeka sejak 1918, namun dua tahun selepas itu, ia termasuk dalam Kesatuan Soviet pada 1920. Negara itu mengisytiharkan kemerdekaan buat kali kedua pada 30 Ogos 1992, iaitu beberapa bulan sebelum pembubaran Kesatuan Soviet.

Kebanyakan pengunjung yang datang ke Azerbaijan adalah untuk menikmati pemandangan dan pengalaman istimewa di Negara Api itu, bukannya atas tujuan keagamaan.

Bukan itu sahaja, Kuil Api Ateshgah telah dijadikan muzium pada 1975 dan dinobatkan sebagai Tapak Sejarah Dunia UNESCO pada 1998. Tapak bersejarah ini menerima kunjungan seramai 15,000 pelawat setiap tahun. Kebanyakan pelancong gemar melawat tapak-tapak api misteri ini pada waktu malam atau musim sejuk.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: