Kemunculan Negara Baru 2027, Penantian Bougainville Bakal Berakhir

bougainville

Terletak 1,000 kilometer dari timur ibu negara tanah besar Port Moresby, Bougainville adalah kawasan yang paling terpencil dari 19 wilayah Papua New Guinea. Ia terdiri daripada dua pulau besar iaitu Bougainville (8,646 kilometer persegi) dan Buka (598 kilometer persegi).

Kini, negara bernama Bougainville bakal terbentuk selepas pelan kemerdekaan berjaya dicapai membolehkan kerajaan negara ini bebas dibentuk. Ini kisah di sebalik pencapaian kejayaan dalam membentuk negara itu.

Hasil referendum menentukan kemerdekaan

Sebelum ini daerah tersebut berada di bawah kerajaan negara Papua New Guinea. Namun pada 23 November sehingga 7 Disember 2019, penduduk di situ telah mendapat tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju masyarakat mereka.

Pada tahun 1975, Papua New Guinea mendapat kemerdekaan dari Australia. Di sini mulalah sejarah tercetus di mana orang Bougainville pula ingin keluar dari taklukan Papua.

Dua kelompok masyarakat ini mempunyai konflik yang memuncak sehinggakan bermulanya perang saudara selama lebih 10 tahun. Perang tersebut berlaku pada tahun 1988 dan hanya tamat pada tahun 1998.

Punca utama pergelutan itu disebabkan oleh campur tangan kuasa sumber bumi emas di Pulau Bougainville. Banyak nyawa terkorban termasuklah tentera Papua New Guinea (PNGDF) ketika melawan pemberontakan Tentera Revilusi Bougainville (BRA).

Selepas lebih satu dekad, mereka akhirnya menemui jalan penyelesaian melalui persetujuan Perjanjian Keamanan Bougainville.

Terdapat beberapa isi kandungan perjanjian tersebut dan salah satunya adalah syarat mengadakan referendum yang akan disertai warga Bougainville selama 10 ke 15 tahun selepas perjanjian keamanan itu ditandatangani.

Referendum dianjurkan supaya suara masyarakat dapat didengari terutamanya dalam menentukan kemerdekaan tempat mereka. Kedua-dua belah pihak telah menandatangani perjanjian itu pada 30 Ogos 2001.

Pilihan masyarakat untuk capai kemerdekaan

Pada bulan Disember 2019, satu referendum telah diadakan dengan menyediakan dua pilihan. Sama ada masyarakat di sana bersetuju untuk kuasa autonomi wilayah dipertingkatkan dan terus kekal di bawah kerajaan pusat Papua New Guinea atau mendapat kemerdekaan dengan menubuhkan negara sendiri.

Hasil undian, 98.31 peratus orang memilih untuk merdeka manakala selebihnya bersetuju untuk kekal sahaja. Justeru, kerajaan Papua New Guinea terpaksa akur dengan pilihan mereka dan perlu merencanakan perbincangan khususnya dalam urusan pindaan perlembagaan agar perlembagaan negara baru itu boleh dirangka.

Tarikh awal penyerahan semua kuasa pentadbiran bakal bermula pada tahun 2023. Setakat ini, tarikh rasmi kemerdekaan negara itu dijadualkan bakal berlaku dia antara selepas tahun 2025 dan sebelum 2027 berakhir.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: