Kapten Samuel Bellamy, Lanun Terkaya Yang Pernah Menjelajah Lautan

Diberi gelaran ‘Black Sam Bellamy’, Samuel Bellamy tidak mempunyai reputasi sebagai kapten yang jahil. Sebaliknya, dia bersikap adil terhadap orang-orang yang dia rompak dan juga murah hati terhadap anak kapalnya.

Beroperasi hanya selama satu tahun dari 1716 hingga 1717, Kapten Bellamy berjaya menakluk 53 kapal dan memiliki harta karun bernilai $140 juta. Harta ini kemudiannya dibahagikan sama rata di antara kru kapalnya.

Perjalanan Bellamy Sebagai Seorang Lanun

Dilahirkan sekitar tahun 1689 di England, Bellamy turun ke laut pada usia muda. Ibunya juga mati muda, dan keluarganya bergelut dalam kemiskinan.

Menjelang tahun 1702, Bellamy telah menjadi anak kapal, menyediakan layanan minimum untuk kapal angkatan laut. Pada usia 17 tahun iaitu pada tahun 1706, dia telah menjadi pelayar lautan yang mahir.

Bellamy bergabung dengan kru seorang kapten terkenal, Benjamin Hornigold di kapal Mary Anne. Di situlah bermulanya peralihan Bellamy kepada dunia lanun secara haram.

Kru Mary Anne memberontak apabila Kapten Hornigold mengatakan bahawa dia ingin berhenti menangkap kapal-kapal Inggeris. Bellamy memberi mereka pilihan iaitu sama ada ingin pulang dengan hutang, atau menaikkan bendera hitam dan menjadi lanun.

Hampir sebulat suara, majoriti kru kapal memilih untuk menjadikan Bellamy sebagai kapten dan mengibarkan bendera hitam, di mana anggota kru telah menjahit bentuk tengkorak dengan tulang yang bersilang.

“Bendera ini bukan mewakili kematian, tetapi kebangkitan,” kata Bellamy. “Jangan sekali-kali kamu menjadi hamba orang kaya. Mulai hari ini, kita adalah orang baru. Orang bebas.”

Kegemilangan Samuel Bellamy dikenali di pelusuk lautan. Sifat demokratiknya membuatkan seluruh anak kapal berasa taat dan setia terhadap kapten mereka.

Mereka menggelarnya Robin Hood of the Seas kerana dia mencuri harta karun orang-orang kaya dan berkongsi dengan rakan sekapalnya.

Kapal Karam Dan Pengakhiran Riwayat Kapten Bellamy

Selama kira-kira setahun, Samuel Bellamy dan lanunnya berlayar dengan penuh gemilang di sekitar Caribbean dan Atlantik.

Namun Bellamy dan kru kapalnya menemui pengakhiran pada tahun 1717 apabila mereka dalam perlayaran pulang dan ribut dahsyat tiba-tiba melanda pantai Massachusetts.

Pada 26 April 1717, Whydah, kapal terulung yang berlayar bersama Bellamy, terbenam ke lautan dalam, menelan sekali harta karun dan kru kapalnya yang lain.

Selama bertahun-tahun, ia tetap dibiar makan ombak tetapi pada tahun 1984, penjelajah bawah laut, Barry Clifford menemui Whydah di pantai Wellfleet, Massachusetts.

Penemuan paling terbaru adalah pada bulan Februari 2021, di mana penyelam menjumpai tulang manusia yang dipercayai berkemungkinan milik Samuel Bellamy.

Whydah Remains
Gambar x-ray penemuan tulang manusia di kapal Whydah. Sumber: ATI

Penguasaan lautan pada era ‘Black Sam Bellamy’ ini dianggap sebagai zaman keemasan lanun. Kapten Bellamy karam ke dasar lautan bersama gelaran, harta dan kru kapal terhormatnya namun kisahnya masih segar hingga kini.

Baca artikel menarik lain di bawah: