Kapal Hilang Tanpa Jejak, Apa Yang Berlaku Di Segi Tiga Bermuda?

Segi Tiga Bermuda yang terletak di antara Florida, Bermuda dan Puerto Rico ini menjadi bualan ramai kerana ia dipercayai telah ‘makan’ banyak kapal dan pesawat.

Untuk pengetahuan anda, Segi Tiga Bermuda ini pertama kali disebut dan diperkenalkan dalam majalah Argosy oleh Vincent Gaddis pada tahun 1964.

Dalam pada itu, ramai orang membuat andaian bahawa jumlah kehilangan kira-kira 50 kapal dan 20 pesawat itu berlaku kerana kewujudan makhluk gergasi di dalam laut, makhluk asing (UFO) atau ribut besar di kawasan tersebut. Walaupun begitu, ada juga yang selamat melalui kawasan tersebut.

Christopher Columbus telah menemui cahaya besar ketika melalui kawasan Segi Tiga Bermuda

Sumber: Astro Ulagam

Pada abad ke-15, Christopher Columbus belayar mengelilingi dunia dalam misi New World. Sepanjang pelayaran tersebut, beliau telah melalui kepulauan Carribean, Teluk Mexico dan Selatan Amerika.

Menurut Christopher, anak buah kapal beliau melihat cahaya besar kemungkinan meteor yang jatuh ke dalam laut ketika melalui kawasan Segi Tiga Bermuda.

Selain itu, kompas pun tidak berfungsi dengan baik ketika melalui kawasan tersebut. Walaupun begitu, laporan kehilangan kapal di Segi Tiga Bermuda tidak menarik perhatian ramai sehingga abad ke-20.

2 kapal hilang di Segi Tiga Bermuda

Sumber: History

Kapal USS Cyclops dan Flight 19 telah hilang tanpa jejak ketika berada di kawasan ini. Pada 4 Mac 1918, USS Cyclops yang memuatkan 306 anak kapal dan 10,000 tan muatan hilang tanpa jejak selepas belayar dari Pulau Barbados menuju ke timur.

Ia tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan melalui radio untuk meminta pertolongan segera dan usaha pencarian menemui jalan buntu kerana tidak dapat langsung menemui apa-apa bangkai kapal.

Pada tahun 1941, dua lagi kapal USS Cyclops hilang di kawasan perairan ini. Pada 5 Disember 1945, lima pesawat udara pengebom bersama 14 orang tentera bertolak dari pangkalan udara Florida untuk membuat latihan.

Walaupun cuacanya baik dan diketuai oleh seorang juruterbang Flight 19 yang berpengalaman iaitu Leftenan Charles Carroll Taylor, ia telah melalui fenomena yang luar biasa dan bacaan kompas juga tidak menentu sepanjang perjalanan mereka. Semua pesawat dipercayai hilang arah dan terbang sehingga kehabisan minyak dan terhempas dalam lautan.

Untuk pengetahuan anda, kawasan perairan Bermuda adalah antara kawasan yang paling sibuk dengan pelbagai kapal yang berlayar dan terbang merentasinya serta berulang-alik dari Amerika, Eropah dan Carribean.

Walaupun banyak andaian yang telah dibuat berkenaan Segi Tiga Bermuda, terdapat juga kawasan perairan lain di dunia yang merekodkan lebih banyak kes kehilangan.

Penulis:

  • Nurul Afiqah Khalil adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kejadian misteri, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: