Sekurang-kurangnya 236 buah kapal China di Laut China Selatan dilaporkan telah membuang sisa kumbahan najis ke dalam laut dan menyebabkan pencemaran hidupan laut dan ekosistem laut.
Laporan tersebut dikeluarkan pada 12 Julai berdasarkan pemerhatian daripada Simularity, iaitu sebuah firma penganalisis imejan satelit milik Amerika Syarikat.
Menurut CEO bagi firma tersebut, Liz Derr, beliau mengatakan kesan pembuangan sisa kumbahan mentah tersebut boleh dikesan melalui angkasa lepas.
Firma tersebut mendapati sebuah kapal yang berlabuh di Kepulauan Spratly telah membuang sisa kumbahan mentah sejak 14 Mei 2016 sehinggalah 17 Jun 2021.
Liz Derr menjelaskan bahawa beratus buah kapal yang berlabuh di lokasi berkenaan membuang sisa kumbahan hampir setiap hari.
Menurut pemerhatian Simularity, perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan menyebabkan ikan-ikan dan terumbu karang di kawasan tersebut akan mati kerana kekurangan oksigen.
Hal ini demikian kerana dengan adanya fitoplankton yang berlebihan, ianya akan merampas oksigen daripada ikan-ikan dan terumbu karang di kawasan tersebut.
Situasi tersebut juga berpotensi untuk menyebabkan kekurangan stok ikan yang merupakan sumber makanan terpenting di lokasi berkenaan.
Pihak China dan Filipina termasuklah Menteri Hubungan Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr., meragukan kesahihan laporan daripada Simularity itu.
Mereka mengatakan bahawa gambar-gambar yang digunakan dalam laporan tersebut adalah daripada lokasi yang berbeza.
Namun, firma tersebut telah menyangkal tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa tidak ada apa-apa yang palsu mengenai kajian dan laporan yang mereka lakukan.
Derr menjelaskan bahawa gambar-gambar tersebut sememangnya diambil dari lokasi yang berbeza dan disertakan dalam laporan berkenaan untuk memberi konteks yang menunjukkan cara pembuangan sisa kumbahan.