Pada hari Ahad yang lalu, seorang kawan mengajak aku untuk melepak di Kampung Baru, menikmati hari di hujung minggu.
Kami lepak di sebuah restoran Acheh dan duduk sambil melihat beberapa orang Acheh sedang duduk santai bermain dam haji.
“Kau nampak tak semua keindahan ini akan bakal hilang dibunuh kehodohan dari ketamakan?” tanya kawan aku, sambil menghirup jus alpukat.
Topik yang dibincangkan pada petang itu bahawa kami berdua membincangkan betapa bencinya kami kepada Menteri Wilayah Persekutuan, tentang kegilaannya nak “memajukan Kampung Baru”.
Sibuk bercakap tentang harga hartanah sekian ringgit setiap satu inci persegi, sibuk bercakap tentang pelaburan yang kononnya datang untuk memperkayakan kita semua, tetapi ada hasad dengki untuk memisahkan komuniti yang dah tinggal di sini selama hampir ratusan tahun.
Atas nama pembangunan.
Dia melihat Kampung Baru dengan penuh sayu.
“Lima atau sepuluh tahun lagi, semua ini akan lenyap dan digantikan dengan kehodohan konkrit dan kaca hasil kesombongan kaum pemodal yang langsung tak ada nilai estetika seni,” kata kawan aku lagi.
Aku diam. Hisap rokok sambil mendengar lagu Nissa Sabyan yang mendayu-dayu.
Kira-kira lima belas tahun yang lalu, aku menyertai demo pertama dalam hidup aku. Aku membantah cadangan untuk meruntuhkan Stadium Merdeka untuk digantikan dengan bangunan pencakar langit serta kompleks membeli-belah.
Aku membantah kerana aku tidak mahu anak aku bertanya, “Malaysia merdeka tahun 1957, di Stadium Merdeka. Kat mana Stadium Merdeka tu, abah?” dan aku menjawab “Stadium Bukit Jalil”.
Kehodohan ini makin banyak kelihatan bukan sahaja di ibu kota Malaysia, tetapi seluruh dunia. Ini adalah agenda globalis dan pakar pemikir neo-liberal yang mahu menghapuskan kedaulatan negara-negara dengan mewujudkan entiti supranegara seperti PBB, Statut Rom, Kesatuan Eropah dan negara yang tunduk dengan arahan Bank Dunia.
Pakar arkitek seperti Le Corbusier, Oscar Niemeyer, Norman Foster dan Zaha Hadid telah mencorakkan dunia arkisektur selepas Perang Dunia Kedua, dengan desain pasca moden yang digelar internationalism, untuk kononnya “masyarakat yang adil, egalitarian dan progresif”.
“Kau cuba lihat kehodohan KLCC. Kononnya berseni tapi pada aku menyakitkan mata dengan bangunan besi dan kaca yang langsung takde sangkut paut dengan sejarah peribumi negara. Sejak bila geometri Islam adalah kesenian Melayu?” ngomel kawan aku sambil memandang kepada bangunan itu.
“Kita fikir prestij, kita sanggup bina jambatan skybridge atas udara. Nampak canggih bila nampak terapung antara dua bangunan. Tapi jambatan kat kampung masih daif,” kata aku paraphrase ayat dialog dalam novel aku Rokok Nan Sebatang.
“Orang-orang yang duduk kat Kementerian Wilayah Persekutuan masih menganggap novel kau novel sampah, bro,” kata dia sambil menghirup air alpukat sampai habis.
Dia bangkit dari kerusi dan keluarkan dompetnya, sebelum membayar ke kaunter.
“Sebab ni aku suka lepak Kampung Baru. Tempat terakhir Kuala Lumpur yang masih dara daripada kelucahan pasca moden ni.”
“Dan tak lama lagi Menteri Wilayah Persekutuan pun akan melacurkan si anak dara ini dengan pemaju tanah yang nak membayar berbillion-billion.”
Masuk kereta, lagu dari penyanyi folk, Azmyl Yunor – Anak Dara pun berkumandang. Feeling menikmati Syaaban terakhir, melabuhkan tirainya sebelum Ramadhan menyinsing.