Sebut sahaja perkataan Ulek Mayang, pasti ramai yang mulai berasa seram sejuk. Walaupun kita hampir memasuki tahun 2021, namun sesetengah masyarakat Melayu hari ini masih beranggapan mendengar dendangan lagu Ulek Mayang boleh membuatkan bulu roma mereka meremang.
Mari kami kongsikan kisah di sebalik lagu Ulek Mayang melalui artikel ini.
Bagi yang tidak tahu, Ulek Mayang berasal dari Terengganu, satu tarian yang terkenal kerana kaitannya dengan alam mistik. Ia dikatakan sebuah mentera yang dinyanyikan untuk menghalau roh laut yang jahat.
Legenda menyatakan bahawa pada zaman dahulu terdapat sekumpulan nelayan yang keluar ke laut untuk menangkap ikan dengan perahu. Semasa di tengah laut, tiba-tiba datang ribut yang sangat dahsyat dan menyebabkan mereka semua tercampak ke dalam laut. Oleh kerana mereke semua penat dan sudah kehabisan tenaga semasa ingin menyelamatkan diri, mereka pengsan dan dihanyutkan ke pantai.
Akhirnya seorang demi seorang sedarkan diri. Cuma tinggal seorang sahaja yang masih belum terjaga. Mereka percaya bahawa rohnya telah terperangkap di alam Puteri Bunian. Oleh kerana zaman itu kepercayaan terhadap animisme (di mana bomoh digunakan untuk menyembuhkan penyakit seseorang) masih kuat, maka rakan kepada nelayan tersebut memanggil bomoh untuk merawatnya.
Ketika ingin mengembalikan semula roh nelayan yang terperangkap itu, bomoh tersebut dikatakan mengalami pertarungan yang sengit dengan Puteri Bunian. Seorang demi seorang adik-beradik Puteri Bunian datang sehinggalah puteri yang keenam.
Akhirnya, pertarungan antara bomoh dan Puteri Bunian itu berakhir setelah datang puteri yang ketujuh iaitu kakak sulung daripada Puteri Bunian tersebut. Puteri sulung yang paling cantik, bijak dan kuat antara mereka semua. Menyedari kenakalan adik beradiknya, Puteri sulung memerintahkan agar pertarungan itu dihentikan.
Maka keluarlah dialog yang dimuatkan dalam lirik lagu Ulek Mayang berbunyi, aku tahu asal usul mu, biarkan yang laut pulang ke laut, yang darat pulang ke darat.

Sejak dahulu lagi, lagu Ulek Mayang akan disertakan bersama tarian. Ritual ini sering dijalankan di kawasan tepi pantai yang digunakan sebagai kaedah untuk merawat penyakit seseorang seperti kerasukan, tidak sedarkan diri dan lain-lain.
Oleh kerana zaman sudah berubah, tarian dan lagu Ulek Mayang kini dijadikan sebagai persembahan budaya ketika majlis-majlis tertentu. Lagu Ulek Mayang mungkin masih dianggap seram oleh segelintir masyarakat Melayu kerana ia berkait rapat dengan pemujaan dan ritual-ritual misitik yang digunakan pada zaman dahulu.
Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: