Pengurus pasukan bolasepak Liverpool FC, Jurgen Klopp telah menyambung kontrak sehingga tahun 2024, menurut laman web rasmi Liverpool FC, hari ini.
Pengemudi dari Jerman itu akan kekal selama empat tahun setengah daripada kontrak asalnya yang ditandatangani semasa beliau mula-mula menyertai The Reds pada tahun 2015.
Turut disambung kontrak ialah pembantunya iaitu Peter Krawietz dan Pepijn Ljinders yang bekerja dengan Klopp secara berpasukan.
“Semasa saya menandatangani kontrak pada musim luruh 2015, saya percaya saya dan kelab (Liverpool FC) adalah yang terbaik untuk bersama. Tetapi kini saya merasakan saya mampu bersama dengan kelab ini selama empat tahun lagi,” katanya selepas menandatangani kontrak tersebut.
Sejak menyertai The Reds, kelab ini menyaksikan transformasi yang besar terutamanya dalam mencari bakat-bakat terbaik seperti penyerang Sadio Mane dan Mohamed Salah, pemain pertahanan seperti Virgil van Dijk dan Trent Alexander Arnold serta pemain tengah yang berkaliber seperti Fabinho, menukar kelab tersebut daripada kelab yang sering dikaitkan dengan “sandarkan kepada kenangan”, menjadi pasukan terkuat Eropah dengan menewaskan pasukan besar seperti Bayern Munich dan Barcelona.
Jurgen juga memimpin Liverpool dalam kejohanan Liga Perdana Inggeris musim 2019/20 setakat ini tanpa kalah dengan cuma satu seri, ketika berdepan dengan Manchester United dengan keputusan 1-1.
Kehadiran Jurgen mengubah pasukan Liverpool yang ketika kemasukannya, hanya sebuah kelab pertengahan dan tidak berjaya untuk layak ke kejohanan Eropah, UEFA Champions League.
Jurgen kemudian memimpin Liverpool dalam kejohanan UEFA Europa League pada tahun 2016, tetapi tewas pada perlawanan akhir menentang kelab Sepanyol, Sevilla FC di St Jakob Park, Basel.
Pada tahun 2017, Jurgen dan Liverpool memberi saingan sengit dalam kejohanan Liga Perdana Inggeris dengan mendapat nombor empat liga.
Pada tahun 2018 pula, Liverpool berada di tempat keempat dalam kejohanan Liga Perdana Inggeris, dan layak ke perlawanan akhir UEFA Champions League di Kiev, Ukraine, namun tewas dengan Real Madrid 1-3.
Pada tahun 2019 pula, Jurgen memberi saingan yang sengit kepada pasukan Manchester City yang dipimpin oleh Pep Guardiola, dengan perbezaan satu mata dalam persaingan Liga Perdana Inggeris, dengan 97 mata – mata yang paling tertinggi dalam sejarah kelab, namun nasib tidak menyebelahi pasukan The Reds ini.
Namun kemenangan bergaya 4-0 ke atas pasukan ayam tambatan dari Catalan, FC Barcelona di Anfield menyebabkan pasukan itu layak ke perlawanan akhir yang berlangsung di Madrid.
Dalam perlawanan akhir di UEFA Champions League menentang pasukan dari London, Tottenham Hotspurs, pasukan dari Merseyside itu menang 2-0 sekaligus menjulang piala Eropah tersebut untuk kali keenam dalam sejarah pasukan The Reds itu.
Pun begitu, pasukan ini dahagakan piala yang masih belum berada di dalam rak kejuaraan selepas sekian lama, iaitu kejohanan Liga Perdana Inggeris.
Kali terakhir pasukan The Reds memenangi piala liga Inggeris pada tahun 1990, pada zaman Kenny Dalglish.
Jurgen Klopp berasal dari Stuttgart, Jerman, dan pernah bermain dengan Eintracht Frankfurt dan Mainz, dan menjadi pengurus kepada pasukan Mainz selepas menggantung but.
Pun begitu nama beliau mula disebut sebagai pengurus yang hebat semasa beliau mengurus pasukan Borussia Dortmund, dan memimpin pasukan tersebut hingga ke perlawanan akhir UEFA Champions League pada tahun 2013 di Wembley, namun tewas dengan pasukan senegara, Bayern Munich.
Jurgen menjadi pengurus Liverpool sejak 2015, terkenal dengan taktik Gegenpressing, yang menekan pasukan lawan dengan asakan yang serta pergerakan pantas dari kedua sayap kiri dan kanan.
Pembelian pemain seperti Andy Robertson, serta pemain dari akademi iaitu Trent Alexander Arnold menyebabkan taktik ini menggerunkan pasukan-pasukan lain.
“Kelab ini dalam keadaan yang baik, sudah pasti saya mahu kekal bersamanya,” kata Klopp lagi.
“Saya juga harus mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Sukan, Michael Edwards dalam penglibatannya setakat ini. Hasil dari penglibatannya terhadap kelab menyebabkan kemajuan yang sangat ketara kepada kelab ini,” kata Klopp sebaik sahaja menandatangani kontrak tersebut.
Liverpool akan bertemu dengan Watford pada minggu ini, dan akan ke Qatar dalam kejohanan Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung pada minggu hadapan.