‘Jual’ Lelaki Untuk Dijadikan Suami, Ini Tradisi Saurath Mela Di India

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Apabila kita sebut sahaja tentang pasar, orang ramai membayangkan para peniaga menjual pelbagai jenis barangan di dalamnya seperti makanan dan keperluan harian.

Sebuah pasar di India ini bagaimanapun mengambil pendekatan yang berbeza dengan melakukan aktiviti dagangan kaum lelaki untuk dijadikan calon suami yang boleh dibeli keluarga pengantin perempuan.

Turut dikenali sebagai Saurath Mela atau Sabhagachhi dan beroperasi sejak 700 tahun lalu, Pasar Pengantin Lelaki ini merupakan satu tradisi yang berlangsung selama sembilan hari di bawah pokok-pokok pipal berhampiran kawasan pasar Bihar.

Memetik laporan Dialogue Pakistan, setiap individu akan diletakkan harga atau mas kahwin tertentu berdasarkan kemampuan, latar belakang keluarga dan tahap pendidikan.

Sumber: Oddity Central

Beribu-ribu lelaki akan berdiri di bawah pokok pipal di daerah Madhubani setiap tahun untuk menunggu diri mereka disunting wanita. Pihak pengantin perempuan atau keluarganya akan datang dan memilih calon suami mengikut bajet mereka.

Keluarga atau pengantin perempuan akan mengesahkan sendiri bukti seperti sijil pendidikan, sijil kelahiran dan dokumen-dokumen lain lelaki yang dikehendaki.

Bakal pengantin perempuan dipercayai tidak boleh memilih calon suaminya sendiri sebaliknya keluarga yang akan memberikan kata putus. Dalam pada itu, keluarga pengantin perempuan kebiasaannya lebih suka mencari lelaki yang bekerja sebagai doktor, jurutera dan ahli profesional lain kerana golongan ini tidak mengambil mas kahwin yang tinggi.

Sumber melaporkan Raja Hari Sing merupakan individu yang memulakan tradisi pasar selama sembilan hari ini ketika zaman pemerintahan Dinasti Karnat kira-kira 700 tahun lalu untuk memudahkan kaum wanita memilih pengantin lelaki pilihan mereka.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: