Juadah-Juadah Popular Hari Raya Di Setiap Negeri

Juadah Popular Hari Raya

Setelah setengah bulan berpuasa, tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan Aidilfitri. Apakah juadah popular pada Hari Raya yang anda rindui?

Pasti ada antara kita yang tidakberaya di kampung halaman kerana sekatan merentas negeri masih dijalankan kerana kes COVID-19 yang masih tidak reda.

Kepada yang merindui juadah semasa berada di kampung halaman semasa raya, kali ini kami ingin mengubati sedikit rindu anda dengan perkongsian ini.

Kedah: Lengat Pisang

Sumber: Cookpad

Lengat Pisang adalah juadah yang paling dicari-cari semasa bulan puasa dan Hari Raya.

Jika anda nak tahu, lengat dalam loghat Kedah bermasud kukus dan lengat pisang bermaksud pisang yang dikukus bersama tepung gandum dan santan.

Pulau Pinang: Laksa Penang

Sumber: Recipe Guru

Manakala, di Pulau Pinang pula, juadah yang wajib ada semasa raya adalah Laksa Penang atau Laksa Asam. 

Meskipun laksa ini boleh didapati pada bila-bila masa, hari raya tidak akan lengkap bagi orang Pulau Pinang tanpa laksa tersebut.

Perak: Rendang Tok

Sumber: B.I.G

Bagi negeri Perak pula, Rendang Tok adalah juadah akan anda jumpa hari raya. Resepi asal rendang tok sebenarnya menggunakan daging kerbau.

Namun begitu, zaman sekarang ramai yang menggunakan daging lembu kerana daging ini senang didapati. 

Lain dari rendang biasa, rendang tok akan dimasak lama sehingga daging lembut dan mempunyai warna yang gelap.

Terengganu Dan Kelantan: Nasi Dagang

Sumber: Wani Sukarno

Bagaimana pula di Terengganu dan Kelantan? Juadah ‘signature’ di dua negeri ini adalah Nasi Dagang dan nasi ini selalunya dimakan bersama kuah kari.

Walau bagaimanapun, setiap negeri mempunyai versi nasi dagang yang sedikit berbeza. Di Terengganu, nasi dagang dimakan dengan kari ikan tongkol.

Bagi negeri Kelantan pula, nasi dagang orang Kelantan dimakan dengan kari ayam. Betul tidak, orang Kelantan?

Pahang: Puding Raja

Sumber: Xtra

Juadah ketika raya di Pahang ini asalnya merupakan juadah yang disediakan sebagai pencuci mulut untuk majlis yang melibatkan pihak istana.

Bukan sahaja untuk raja, sekarang rakyat jelata juga turut menikmati juadah ini ketika menyambut Aidilfitri.

Antara bahan asas Puding Raja adalah pisang lemak manis, jala emas, buah prun, buah ceri dan kacang gajus.

Negeri Sembilan: Rendang Hitam Minang

Sumber: Kompas

Rendang ini selalunya sukar untuk didapati jika bukan pada Hari Raya! Rendang Hitam Minang selalunya digandingkan dengan nasi dan lemang.

Selain itu, rendang ini juga dimakan dengan lontong daun pisang atau boleh juga dimakan begitu sahaja.

Melaka: Dodol

Sumber: Adam Food Industri

Tidak sah beraya di Melaka tanpa Dodol! Pergi sahaja beraya di mana-mana rumah di Melaka, pasti anda akan menemui manisan ini.

Membuat dodol bukan perkara yang mudah, kadang kala memasak dodol boleh mengambil masa sehingga tujuh jam. Gigih orang Melaka.

Johor: Lontong

Sumber: murai

Mustahil untuk orang Johor untuk tidak menyediakan juadah ini ketika menyambut Hari Raya. Sama seperti Laksa Pinang, walaupun lontong boleh didapati pada bila-bila masa, lontong wajib dimakan semasa raya.

Lontong selalunya dimakan bersama kuah lodeh tetapi ada juga yang gandingkannya bersama serunding, telur rebus, sambal tumis serta sambal kacang.

Sabah Dan Sarawak: Kelupis

Sumber: Kg Hilir Oya

Kelupis merupakan ‘signature’ di pagi Hari raya yang wajib ada. Kata orang Sarawak, Kelupis sebenarnya sama dengan Pulut Panggang.

Perbezaannya adalah teksturnya yang lembut dan rasa manis. Kelupis selalunya dihidangkan bersama rendang ataupun kari.

Bagaimana? Adakah terubat sedikit kerinduan anda terhadap kampung halaman atau semakin parah?

Sumber: