Isu Sugarbook: Hipokrasi Golongan Liberal Yang Selama Ini Bersuara Tentang Kesamarataan

ISU SUGARBOOK: HIPOKRASI GOLONGAN LIBERAL YANG SELAMA INI BERSUARA TENTANG KESAMARATAAN

Saya enggan nak mengulas tentang soal hukum-hakam agama, sebab yang pertama, saya bukan seorang pakar alim ulama. Yang itu biarlah mereka yang ulas.

Yang kedua, kalau saya mengulas dalam sudut agama, sudah pasti golongan sekularis ini mahu menolak dan menuduh saya mahu memaksa moral kepada orang lain.

Saya mengulas topik Sugarbook ini dalam topik yang paling mereka gemar gunakan apabila mengkritik dalam media sosial: kesamarataan.

Seringkali isu yang dibangkitkan dalam media sosial, golongan liberal ini berkata tentang betapa tidak seimbangnya jurang kekayaan miskin dan kaya, serta sering berkata tentang ketidakadilan di dalam ekonomi.

Seringkali mantra seperti “We Are 99% Against 1%” dilepaskan, dan adakalanya jika ada yang mengkritik pandangan mereka, terus sahaja dicop “barua kapitalis”.

Tetapi kelakar apabila tentang isu Sugarbook, iaitu aplikasi laman sosial yang tular baru-baru ini kerana papan iklan mereka di Bangsar baru-baru ini, mencetuskan kemarahan orang ramai, terutamanya umat Islam di negara ini.

Lalu bertempiklah mereka ini kononnya mahu mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan gaya hidup. Tetapi tahukah anda semua yang lifestyle sugardaddy ini adalah lifestyle golongan “1%” yang mereka sering kritik tu?

Untuk saya yang libertarian, yakni tidak sukakan kawalan dari sesiapa dari segi percukaian mahupun kehidupan sosial, saya sejujurnya tidak ada masalah dengan aplikasi ini.

Pada saya, asalkan ia tak mengganggu orang lain, ia tidak menjadi hal. Dan saya dah tahu tentang kewujudan sistem sugardaddy dalam ruang kota ini semenjak saya kenal filem Pretty Woman (1990) lakonan Richard Gere dan Julia Roberts.

Dan kalau nak kata saya bitter atau salty terhadap orang kaya, saya sudah menerima sistem ini sudah wujud sekian lama. Orang kaya dah lama pun ada perempuan simpanan.

Dahulu pada zaman Maharaja China pun ada gundik, raja-raja zaman dahulu pun ada gundik, dan zaman sekarang, apabila kapitalisme menjadi sistem ekonomi yang diterima pakai seluruh dunia ini, maka CEO-CEO atau pengerusi konglomerat, atau ahli politik yang mempunyai wanglah yang akan menyimpan perempuan simpanan.

Dan saya menerima perkara ini sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia.

Yang saya tidak boleh terima, ialah dalam golongan liberal yang sering bercakap tentang equalities in economy, dan bercakap tentang betapa teruk dan korupnya orang kaya ini, tetapi ‘okay‘ sahaja apabila bercakap tentang sugardaddy?

Kenapa apabila berbicara tentang soal ekonomi, mereka ini bercakap tentang “tax the rich“, dan menyokong “cukai progresif” iaitu cukai yang tinggi, tetapi okay dengan perkara sebegini?

Bukankah sistem sugardaddy ini adalah bukti inequalities yang sering disebut-sebut oleh golongan ini di media sosial, selama ini?

Atau adakah mereka ini cuma chattering class, champagne socialist yang suka bercakap tentang kesamarataan hak asasi manusia dalam ekonomi, tapi tak mengapa tentang orang kaya yang menggunakan kekayaannya untuk berfoya-foya?

Di mana pendirian moral mereka sebenarnya?

Ada golongan liberal yang mahu bercakap tentang “child marriage” atau perkahwinan bawah umur. Sementara saya dengan tegas tidak menyokong perkara tersebut, saya tidak melihat sistem sugardaddy ini sebagai perkara yang wajar juga, kalau begitu.

Ikutkan pun, sistem sugardaddy ini lebih kurang juga dengan perkahwinan bawah umur, cuma ia di luar perkahwinan (zina) dan di atas umur (atau ada je di bawah umur, seperti dalam kes Jeffrey Epstein).

Adakah moral hari ini dikawal oleh golongan chattering class yang berubah-ubah pendirian moralnya mengikut keselesaan mereka?

Bila nak nampak moral higher ground seperti bercakap tentang ketidakadilan dalam ekonomi, bukan main bising.

Tapi dalam isu sugardaddy yang memang terang-terang mainan orang kaya yang jahat dan gunakan kekayaan mereka untuk nafsu serakah mereka, tak apa pula?

Di sini saya tidak mengkritik aplikasi tersebut, saya mengkritik orang yang mempertahankan aplikasi tersebut “demi kebebasan bersuara” dan “kebebasan gaya hidup” tapi dalam masa sama, mahukan “kesamarataan dalam masyarakat”.