Isu 5 Ahli Pemimpin Bersatu Digugurkan, Muhyiddin Tampil Beri Penjelasan

Hangat dibicarakan oleh orang ramai apabila lima pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah digugurkan keahlian pada 28 Mei yang lalu.

Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau tidak mengambil tindakan terburu-buru terhadap lima pemimpin itu.

Malah, Muhyiddin berkata beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak walaupun banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima ahli Parlimen Bersatu yang telah digugurkan keahlian itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr. Maszlee Malik.

Beliau juga yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh setelah menghadapi banyak cabaran dari awal parti itu ditubuhkan.

“Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi

Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya.

Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya.

Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menyeru semua ahli Bersatu untuk bersamanya dalam memperkukuhkan lagi kerajaan demi masa depan negara.

Semoga pertelingkahan politik di negara ini dapat diselesaikan dengan cepat agar negara lebih fokus kepada masalah COVID-19 yang sedang berleluasa ini.

Sumber: