Ini Stereotaip Rakyat Jepun Terhadap Jenis Darah Seseorang Individu

Ada orang yang gemar melihat horoskop untuk membaca berkenaan personaliti dan ramalan nasib mereka. Ia berbeza untuk orang Jepun kerana mereka melihat jenis darah seseorang untuk menentukan personaliti individu tersebut.

Atas sebab itu juga, anda tidak perlu terkejut sekiranya syarikat amat mementingkan jenis darah seseorang dalam proses merekrut pekerja baharu untuk melihat sama ada calon tersebut layak atau tidak diterima bekerja.

Kami akan kongsikan tentang diskriminasi yang dilalui oleh masyarakat Jepun kerana jenis darah mereka menerusi artikel ini:

Obsesi orang Jepun terhadap jenis darah

Selepas membuang aspek bangsa dan etnik seseorang, Masahiko Nomi menulis tentang konsep jenis darah dikaitkan dengan personaliti dan corak tingkah laku tertentu dalam buku beliau iaitu Ketsueki-gata de Wakaru Aisho.

Buku ini sangat dikenali ramai di Jepun dengan idea yang diperkenalkan oleh Masahiko iaitu konsep jenis darah mempunyai kaitan dengan peribadi seseorang menjadi terkenal kepada penduduk negara matahari terbit dan negara-negara Asia Timur lain.

Diskriminasi berdasarkan jenis darah individu

Sumber: Iluminasi

Walaupun ia kelihatan pelik dan tidak berbahaya, ada sahaja kes di mana pekerja Jepun mendapati diri mereka terlibat dalam masalah di tempat kerja kerana jenis darah mereka salah.

Disebabkan perkara ini kerap berlaku, terma bura-hara tercipta iaitu singkatan bagi perkataan yang membawa maksud gangguan berpunca daripada jenis darah.

Ketika membuat permohonan kerja, syarikat biasanya akan meminta calon untuk menyediakan maklumat berkenaan jenis darah mereka. Hal ini demikian kerana para majikan percaya individu dengan jenis darah tertentu mungkin tidak sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Untuk dijadikan cerita, terdapat laman sesawang janji temu di Jepun yang dikhususkan untuk sesuatu jenis darah sahaja. Makanan, minuman dan ubat-ubatan juga telah dicipta dan dirancang supaya ia berfungsi paling baik dengan jenis darah tertentu.

Dari segi pelajaran pula, kurikulum pendidikan di sekolah akan kenal pasti jenis golongan darah untuk menentukan kaedah pengajaran terbaik.

Pada tahun 1990, syarikat automotif Mitsubishi membina seluruh pasukan pekerjanya dengan mereka yang mempunyai jenis darah AB kerana kemampuan mereka untuk membuat perancangan lebih baik.

Ryu Matsumoto. Sumber: Reuters

Pada tahun 2011, Ryu Matsumoto iaitu Menteri Pembangunan Semula pada waktu itu telah mengundurkan diri daripada jawatan selepas beliau membuat beberapa kenyataan tidak sensitif tentang gempa bumi dan tsunami di negara tersebut. Ryu turut menyalahkan jenis darah beliau iaitu B kerana sikapnya yang kasar. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan budaya Jepun, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: