Hampir setiap hari kita menghabiskan masa seharian dengan bekerja. Tanpa pekerjaan, kita tidak mungkin boleh sara hidup sendiri dan juga keluarga.
Namun, tahukah anda wujud haiwan yang benar-benar mempunyai pekerjaan tanpa apa-apa bayaran?
Selain rutin harian haiwan yang kita selalu dengar, haiwan ini juga diberikan tugasan seperti membuang sampah, meramal kejadian sawan pada manusia dan banyak lagi.
Berikut kami kongsikan haiwan-haiwan yang bertugas bagi membantu manusia:
1. Kucing

Selain memerlukan kawalan keselamatan yang ketat, kediaman Perdana Menteri British yang terletak di 10 Downing Street ini memerlukan bantuan si comel bagi melindungi premis.
Kucing ini diberikan jawatan Chief Mouser iaitu Ketua Penangkap Tikus di mana ia ditugaskan untuk melindungi kediaman PM daripada serangan haiwan perosak lain seperti tikus.
Walaupun jawatan tersebut baru sahaja diperkenalkan secara rasmi, penggunaan kucing dalam jawatan tersebut sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 1500 semasa pemerintahan Henry ke-8.
2. Monyet

Monyet in dilatih untuk melakukan tugasan harian seperti memasang atau menutup suis elektrik, mengutip barang yang jatuh mahupun menggaru tuan badan.
Haiwan ini ditugaskan bagi membantu mereka yang kurang upaya untuk bergerak khususnya yang mengalami masalah kecederaan saraf tunjang.
Biasanya monyet baka Capuchin yang dilatih untuk kerja ini. Latihan boleh mengambil masa antara 3 hingga 5 tahun.
3. Ikan lumba-lumba

Kepintaran ikan lumba-lumba membuatkan haiwan ini dipilih pasukan tentera untuk melaksanakan tugasan dalam air termasuk mengesan periuk api.
Ikan lumba-lumba mempunyai sistem sonar yang mampu mengesan periuk api dengan mudah walaupun dalam air yang keruh mahupun kedalaman yang tinggi.
Latihan ini dibuat oleh Program Mamalia Marin Tentera Laut AS. Mereka turut melatih anjing laut.
4. Burung kenari

Lombong arang batu merupakan satu lokasi berbahaya di mana kejadian tanah runtuh dan juga keracunan karbon monoksida seringkali terjadi.
Pada awal abad ke-20, John Scott Haldane menggunakan burung kenari bagi menyelesaikan masalah kematian pelombong yang berpunca daripada keracunan gas bertoksik.
Burung berkenaan boleh memberikan isyarat tentang kesan karbon monoksida lebih awal dan mampu meramalkan masa yang mencukupi untuk semua pelombong melarikan diri ke tempat lebih selamat.
5. Kuda padi

Walaupun anjing biasanya dijadikan haiwan panduan, kuda padi juga semakin dikenali ramai untuk tujuan yang sama.
Pada tahun 2011, Akta Orang Kurang Upaya Amerika telah disemak semula dalam menyenaraikan kuda padi sebagai salah satu haiwan perkhidmatan OKU.
Bukan sahaja mampu membawa orang kurang upaya bergerak, kuda padi juga bersikap lebih tenang dan tidak mudah terganggu berbanding anjing.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: