Ini Sebab Kenapa Tajuk Lagu Pria Terhebat Sheila On 7 Berubah

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Medcom.id

Sheila On 7 ialah salah satu kumpulan muzik dari negara seberang yang dikenali ramai. Pada awalnya, mereka telah menubuhkan kumpulan ini pada 6 Mei 1996 sebagai Sheila Gank.

Sheila Gank kemudiannya berubah nama beberapa tahun kemudian kepada Sheila On 7. Nombor itu membawa maksud tujuh note dalam muzik iaitu Do, Re, Mi, Fa, So, La dan Ti.

Walaupun kebanyakan daripada lagu-lagu mereka mendapat tempat di hati peminat dari Malaysia, ada juga karya daripada kumpulan ini yang tidak menerima reaksi positif.

Sumber: Radar Bogor

Sebagai contoh, perbezaan fahaman bahasa pada tajuk dan lirik lagu Pejantan Tangguh telah menyebabkan maksudnya disalah tafsir. Eross iaitu gitaris kumpulan ini menjelaskan bahawa perkataan Pejantan Tangguh di Malaysia mempunyai makna yang negatif.

Kalau di Malaysia, pejantan itu sendiri membawa maksud yang agak kasar seperti panggilan jantan untuk lelaki manakala tangguh pula bermakna menangguh sesuatu perkara. Apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan, ia memberi maksud dan perkataan yang kurang positif.

Perkara yang sama pernah terjadi kepada lagu mereka juga yang bertajuk Seberapa Pantas. Ini kerana liriknya ada menyebut perkataan ‘celakanya’ dan ia menerima kritikan pedas daripada orang Malaysia.

Mereka terus mengubah perkataan itu tadi pada ‘sayangnya’. Pada mereka, ia merupakan satu masalah biasa dan tidak perlu dibesar-besarkan lagi.

Apa-apa pun, keempat-empat ahli kumpulan ini membuat keputusan sebulat suara untuk mengubah lirik dan tajuk lagu itu ke ‘Pria Terhebat’ buat peminat di Malaysia. Sheila On 7 juga tidak ingin membesar-besarkan hal ini tetapi ingin belajar daripada sejarah agar terus maju ke hadapan. 

Sehingga kini, lagu-lagu Sheila On 7 masih menjadi siulan ramai di Malaysia dan kumpulan itu turut menganggap Malaysia sebagai tanah air kedua mereka.

Penulis:

  • Nurul Sufiah Ab Majid adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.