Ini Sebab Kenapa McDonald’s Tidak Dapat Tewaskan Jollibee Di Filipina

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Big Hospitality

Sekiranya McDonald’s sentiasa menjadi pilihan orang ramai di seluruh dunia, ia ternyata berbeza buat penduduk Filipina. Jika anda berada di Filipina, nama Jollibee tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ia sangat berjaya sehingga tidak ada rangkaian restoran makanan segera antarabangsa yang berjaya menundukkan mereka ketika ini. Kami akan kongsikan empat faktor kejayaan Jollibee di Filipina menerusi artikel ini:

1. Jenama Made In Phillipines

Ketika berusia 22 tahun, Tony Tan Caktiong menjual aiskrim bagi francais Magnolia Dairy Ice Cream. Berkat wang simpanan keluarganya, pengasas jenama Jollibee itu telah berjaya menubuhkan dua buah cawangan aiskrim Magnolia di bandar Quezon dan Manila.

Walau bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi dirinya apabila perniagaan aiskrim Tony hampir hilang pelanggan kerana mereka tidak menjual makanan panas. Atas sebab itu, Tony telah mengambil inisiatif dengan menjual hamburger dan sandwic di premis tersebut.

Selepas Tony melihat aiskrim tidak lagi mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, beliau mengambil keputusan untuk membuka sebuah restoran makanan segera iaitu Jollibee di Manila pada tahun 1978.

2. Penduduk Filipina lebih suka Jollibee

Untuk pengetahuan anda, penduduk Filipina suka makanan manis. Jollibee mempunyai kelebihan di sini kerana ia menghasilkan menu sama seperti McDonald’s tetapi rasa manis berkenaan ‘dikuatkan’ untuk sesuai dengan citarasa penduduk Filipina.

3. Persaingan harga dan cara restoran beroperasi

Bukan sahaja rasa manis makanannya menawan hati penduduk Filipina, harganya juga dikatakan sangat berpatutan berbanding McDonald’s.

Walaupun perbezaan harga Jollibee dengan McDonald’s hanya 50 sen, ia sangat bermakna kepada mereka yang kurang berkemampuan. Untuk dijadikan cerita, harga makanan di Jollibee lebih menyasarkan golongan pertengahan di negara tersebut.

Sama seperti McDonald’s, Jollibee turut membenarkan para pelanggan membeli makanan secara pandu lalu dan restoran dibuka selama 24 jam.

4. Jollibee mempunyai unsur pengaruh budaya Filipina

Sekiranya McDonald’s terkenal dengan Ronald McDonald, Jollibee juga mempunyai maskot mereka tersendiri. Namun, apa yang lebih menarik adalah maskot Jollibee dikatakan mempunyai pengaruh unsur budaya masyarakat Filipina.

Maskot Jollibee yang memakai blazer berwarna merah dan kuning ini melambangkan kehidupan warga Filipina yang selalu sibuk tetapi mereka masih mampu ceria menjalani kehidupan.

Atas sebab itu, Jollibee juga digelar sebagai ‘restoran keluarga’ kerana ia berjaya meningkatkan nilai kekeluargaan dalam kalangan penduduk Filipina.

Sekiranya Jollibee membuka cawangan di Lembah Klang suatu hari nanti, adakah anda akan pergi ke restoran tersebut?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan restoran makanan segera, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: