Ini Sebab Kenapa McDonald’s Gagal Beroperasi Di Iceland

Pasti semua orang kenal dengan syarikat francais McDonald’s bukan? Untuk pengetahuan, restoran pertama McDonald’s di Malaysia telah dibuka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada tahun 1982. Kini McDonald’s telah membuka sebanyak 250 cawangan di seluruh negara.

McDonald’s merupakan rangkaian restoran makanan segera kedua terbesar di dunia selepas Subway. Sebanyak 34,734 restoran di 191 buah negara telah beroperasi dan McDonald’s telah memulakan operasinya pada tahun 1961 di Illinois, Amerika Syarikat.

Malangnya, tidak semua negara McDonald’s membuat keuntungan. Mereka terpaksa menutup operasi McDonald’s di Iceland pada tahun 2009 atas beberapa sebab.

1. Kos sara hidup kedua tertinggi di dunia

Menurut media Iceland, dilaporkan seramai 15,000 pelanggan hadir untuk menikmati hidangan di McDonald’s pada minggu terakhirnya beroperasi.

Oleh kerana kos sara hidup yang tinggi di Iceland, McDonald’s terpaksa ditutup ketika krisis kewangan meruncing yang melanda negara itu. Namun pesaing McDonald’s seperti Burger King, Pizza Hut dan Kentucky Fried Chicken tidak berputus asa dan terus beroperasi di sana.

Iceland menduduki tempat kedua negara paling mahal di dunia pada tahun 2018. Hidangan satu set makanan di restoran Iceland dianggarkan sekitar RM83 hingga RM166. KFC dikatakan dapat bertahan di Iceland disebabkan penggunaan sumber bahan mentah yang ditanam sendiri demi mengurangkan kos bahan import.

2. Keruntuhan ekonomi Iceland pada tahun 2008

McDonald’s mengumumkan penutupan 3 buah restoran serentak di Iceland pada tahun 2009 setelah hampir 15 tahun bertapak di Iceland. Pasaran saham dan tiga buah bank terbesar di Iceland mengalami kerugian yang besar sehingga menyebabkan semua sektor perniagaan yang beroperasi hampir muflis.

Ribuan rakyat kehabisan wang simpanan dan satu demonstrasi telah dilakukan untuk menyuarakan kerisauan mereka kepada pemimpin. Nilai mata wang Iceland, jatuh separuh daripada nilai asalnya dan telah menyebabkan harga import barangan dari luar melonjak naik.

3. Bahan mentah diimport dari Jerman

Jon Garder Ogmundsson selaku pemilik francais McDonald’s Iceland berkata bahawa semua bahan-bahan mentah perlu diimport dari Jerman. Memandangkan harga import barang di Iceland yang tinggi, harga jualan burger McDonald’s juga akan meningkat secara mendadak demi keseimbangan purata keuntungan jualan.

Demi meneruskan perniagaan dan menjana keuntungan, Jon Ogmundsson terpaksa menaikkan harga burger Big Mac McDonald’s sebanyak 20% daripada $5 (+-RM20.07) kepada $6.36 (+-RM26.35). Peningkatan ini telah menjadikan Big Mac di Iceland adalah yang paling mahal di dunia. Rekod itu kini dipegang oleh harga Big Mac di Switzerland dengan harga $6.82 (RM28.03).

Sumber: