Lazada dan Shopee merupakan dua platform beli-belah dalam talian yang semakin mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia terutamanya selepas pihak kerajaan kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Sekiranya anda mahu tahu, Alibaba Group ialah pemegang saham terbesar Lazada. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana Jack Ma memperoleh idea atau inspirasi untuk memberikan nama Alibaba kepada syarikat e-dagang beliau? Kami akan kongsikan sebab di sebalik nama syarikat teknologi gergasi dari China berkenaan menerusi artikel ini:
Jack Ma ambil inspirasi daripada kisah rakyat Arab
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas syarikat Alibaba iaitu Jack Ma ialah seorang bekas guru bahasa Inggeris. Sebagai seorang bekas guru bahasa Inggeris, beliau tahu tentang kisah Ali Baba dan 40 Penyamun daripada koleksi kisah rakyat Arab iaitu One Thousand and One Nights.
Menerusi sebuah wawancara dalam program CNN’s Talk Asia pada tahun 2006, pengasas syarikat Alibaba itu berkata bahawa idea berkenaan muncul ketika berada di sebuah kedai kopi dekat San Francisco, Amerika Syarikat.
Jack bertanya kepada pelayan kedai berkenaan sama ada wanita itu pernah dengar tentang kisah Ali Baba, “Apakah yang anda tahu tentang Ali Baba?”
Pelayan wanita itu menjawab soalan tersebut dengan berkata, “Open Sesame.”
Bagi anda yang masih keliru, open sesame ialah frasa yang diungkapkan oleh ketua penyamun untuk buka pintu gua yang menjadi lokasi penyimpanan harta karun mereka. Ia bagaimanapun telah diubah dalam filem arahan P. Ramlee iaitu Ali Baba Bujang Lapok.
Selepas Jack Ma keluar dari kedai berkenaan, beliau mula bertanya soalan kepada para pejalan kaki sama ada mereka pernah dengar tentang kisah Ali Baba sebelum ini.
Kebanyakan daripada mereka pernah mendengar kisah tersebut walaupun datang dari negara-negara berbeza seperti Jerman, India, Jepun dan China.
Kisah Ali Baba dan 40 orang penyamun

Seorang penterjamah Perancis bernama Antoine Galland mengetahui kisah Ali Baba dan 40 orang penyamun buat pertama kalinya daripada pencerita Hanna Diyab.
Ali Baba dalam versi asal ialah seorang pemotong kayu miskin yang mengetahui rahsia sarang penyamun. Pemotong kayu itu berjaya menyelinap masuk ke dalam lokasi penyimpanan harta karun penyamun tersebut dengan menyebut frasa open sesame.
Kumpulan-kumpulan penyamun berkenaan cuba mengambil nyawa Ali Baba tetapi seorang hamba wanita Ali Baba berjaya menggagalkan rancangan mereka.
Anak Ali Baba mendirikan rumah tangga bersama wanita berkenaan dan rahsia tersebut selamat dengan pemotong kayu terbabit.
Watak Ali Baba sebagai inspirasi

Menurut Jack, Ali Baba ialah seorang peniaga yang baik, pintar dan suka menolong orang kampung. Dengan menjadikan watak utama kisah rakyat berkenaan sebagai inspirasi, Jack mahu membuka jalan untuk syarikat kecil dan sederhana untuk berniaga melalui syarikat Alibaba.
Untuk pengetahuan anda, Alibaba terdiri daripada pelbagai platform e-dagang seperti Taobao. Taobao sama seperti eBay iaitu satu laman sesawang untuk menghubungkan pengguna dengan pengguna di mana individu boleh membeli dan menjual barang.
Taobao ini membawa maksud cari harta karun atau permata di padang pasir dalam bahasa Cina. Ini kerana pengguna boleh mencari harta karun iaitu apa sahaja barang di Taobao.
Apa pendapat anda berkenaan nama Alibaba ini? Adakah ia merupakan nama yang baik atau sebaliknya?