Ini Sebab Kenapa Brunei Mula Puasa Sehari Lebih Lewat Dari Malaysia

Sekiranya umat Islam di Malaysia sudah memasuki hari keempat berpuasa dalam bulan Ramadan, ia berbeza dengan penduduk Brunei yang baru sahaja memasuki hari ketiga.

Walaupun kedua-dua buah negara ini berjiran, umat Islam di Malaysia dan Brunei mula berpuasa pada hari berbeza. Mesti ada yang keliru kenapa Brunei mula puasa sehari lebih lewat dari Malaysia.

Buat anda yang masih keliru, seorang pengguna Twitter bernama Mohammad Faeez Harith memuat naik satu ciapan yang menjelaskan perbezaan hari dalam menentukan masuknya bulan Ramadan.

Untuk pengetahuan anda, Malaysia menggunakan kriteria syarat Imkanur Rukyah iaitu kebolehnampakan anak bulan berdasarkan syarat-syarat yang telah dipersetujui.

Menurut pengasas FalakOnline iaitu Shahrin Ahmad, negara tersebut perlu memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut iaitu:

i. Umur minimum bulan lapan jam

ii. Ketinggian minimum bulan bersamaan dua darjah atas ufuk

iii. Jarak minimum antara bulan dengan matahari ialah tiga darjah

Menurut Shahrin lagi, penduduk Brunei menggunakan kaedah rukyah (observation) semata-mata untuk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Untuk perkiraan bulan-bulan lain dalam tahun Hijrah, mereka akan ikut kaedah Imkanur Rukyah seperti Malaysia.

Apa yang berlaku pada petang Isnin lalu ialah bulan tidak kelihatan di Brunei berdasarkan rukyah jadi mereka genapkan 30 hari untuk bulan Syaaban.

Sumber: Twitter @illuminAaus

Dalam pada itu, umat Islam di Malaysia berpuasa satu hari lebih awal kerana bulan cukup syarat berdasarkan Imkanur Rukyah. Ia telah dikira oleh pihak yang diamanahkan seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Malaysia turut berkongsi tarikh hari pertama bulan Ramadan bersama dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Mesir, Palestin, Qatar, Lubnan, Iraq, Yaman, Tunisia dan Turki.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: