Ini Sebab Kenapa Bas Sekolah Di Seluruh Dunia Berwarna Kuning

Warna bukan sahaja meningkatkan daya tarikan terhadap sesuatu benda tetapi ia juga memudahkan pelbagai perkara dalam kehidupan. Sebagai contoh, tiga warna berlainan yang terdapat pada lampu isyarat.

Selain memudahkan, warna juga memainkan peranan bagi memastikan keselamatan masyarakat. Salah satu contoh yang baik adalah bas sekolah.

Kepentingan keselamatan bas sekolah

Sumber: InnerSelf

Bas sekolah digunakan untuk membawa rata-rata pelajar di seluruh dunia untuk perjalanan pergi dan balik sekolah setiap hari.

Menjadi pengangkutan utama bagi bakal orang-orang penting pada masa hadapan, keselamatan adalah amat penting pada setiap bas sekolah.

Bas sekolah bukan sahaja direka bagi melindungi penumpangnya sekiranya berlaku kemalangan. Ia turut mempunyai penampilan luaran tersendiri dengan warna kuning yang ketara dan sukar untuk terlepas pandang.

Warna bas sekolah bukanlah kuning asli

Ramai daripada anda pasti tidak sedar bahawa warna bas sekolah di seluruh dunia bukanlah benar-benar berwarna kuning asli.

Ia sebenarnya terdiri daripada campuran warna oren dan kuning lemon di mana ia merupakan warna kebangsaan bas sekolah di Amerika Syarikat dan Kanada.

Seorang profesor dari Kolej Guru di Universiti Columbia Dr. Frank W. Cyr telah mengadakan satu persidangan memilih warna bas sekolah pada 1939.

Pelbagai piawaian ditetapkan bagi menentukan warna paling sesuai digunakan pada bas sekolah di Amerika Syarikat dan akhirnya bersetuju untuk menggunakan warna kuning sebagai warna rasmi.

Pasti anda tertanya-tanya kenapa warna kuning? Kenapa bukan merah yang juga mudah dilihat dengan jelas walaupun pada jarak yang jauh?

Berikut kami kongsikan tiga sebab utama kenapa warna kuning dipilih:

1. Penampilan khas warna kuning

Sumber: Iluminasi

Kajian telah membuktikan bahawa warna kuning merupakan warna paling menonjol pada mata berbanding dengan warna lain yang kita lihat dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, anda boleh melihat sendiri betapa menonjolnya warna kuning dalam gambar di atas.

2. Lebih menonjol dalam suasana gelap

Dengan sifat warnanya yang agak bersinar, warna kuning lebih menonjol dalam cahaya redup atau gelap berbanding warna lain.

Disebabkan bas beroperasi seawal jam 6 pagi untuk mengambil pelajar ke sekolah, warna kuning adalah pilihan yang terbaik.

3. Penglihatan sisi manusia

Sumber: Iluminasi

Dari sudut saintifik pula, kecendurungan manusia untuk mengesan warna kuning adalah sebanyak 1.24 kali ganda berbanding warna merah.

Secara ringkasnya, anda lebih cenderung untuk ternampak objek berwarna kuning secara jelas walaupun tidak melihatnya secara lurus atau menggunakan pandangan sisi sahaja.

Perbezaan kecil ini membawa kesan yang besar bagi kedua-dua pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Inilah beberapa sebab kenapa bas sekolah seluruh dunia dicatkan dengan warna kuning.

Selain itu, terdapat juga undang-undang yang ditetapkan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat di mana ia mewajibkan penggunaan warna kuning pada setiap bas sekolah.

Bas sekolah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali sekiranya tidak dicatkan dengan warna kuning.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: