Perasan atau tidak, kita didedahkan sejak kecil lagi kepada pelbagai lagu kanak-kanak dari Barat yang mempunyai melodi ringkas dan bersahaja.
Untuk liriknya pula, besar kemungkinan ramai orang menyanyikan lagu tersebut tanpa peduli apa yang keluar dari mulut kita kerana seni katanya tidak membawa apa-apa makna.
Kami akan kongsikan makna sebenar di sebalik lirik lagu yang menjadi siulan banyak kanak-kanak di seluruh dunia menerusi artikel ini:
1. Baa Baa Black Sheep

Ia sebenarnya berkait rapat dengan sistem ekonomi Inggeris pada abad ke-13. Untuk pengetahuan anda, salah satu aktiviti ekonomi utama masyarakat mereka pada waktu tersebut ialah penternakan biri-biri.
Golongan bangsawan akan menggajikan seorang kanak-kanak sebagai pengembala kambing untuk membawa haiwan berkenaan meragut rumput dan memastikan tidak ada yang lari.
Raja Edward I memperkenalkan cukai jahat yang lebih dikenali sebagai maltolt untuk menampung belanja perang yang telah dikeluarkan. Disebabkan bulu biri-biri termasuk dalam cukai tersebut, masyarakat Inggeris mencipta lagu berkenaan sebagai salah satu kaedah protes.
Lagu Baa Baa Black Sheep ini sebenarnya rungutan tersirat kepada cukai tersebut di mana ia berkata sepertiga daripada hasil jualan biri-biri perlu diserahkan kepada master (Raja Edward I).
Satu pertiga daripada hasil jualan itu perlu diserahkan kepada gereja atau dame. Dalam lirik lagu asalnya, none for the little boy digunakan untuk merujuk kepada kanak-kanak yang mengembala kambing sebelum ia ditukar kepada one for the little boy sekitar abad ke-16.
2. Jack and Jill
Untuk pengetahuan anda, terdapat sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Jack and Jill di Kilmersdon, England. Penduduk kampung berkenaan percaya lagu Jack and Jill itu dicipta oleh nenek moyang mereka untuk bercerita tentang satu kejadian yang berlaku pada abad ke-17.
Jack dan Jill ialah sebuah pasangan yang tidak berkahwin tetapi suka bertemu dan bermesra di atas bukit. Sebagai salah satu cara untuk menyembunyikan kelakuan mereka daripada umum, Jack dan Jill akan membawa baldi serta berlakon seolah-olah mahu pergi ambil air di atas bukit.
Namun, mereka akhirnya ‘kantoi’ apabila Jill disahkan berbadan dua dan ramai orang yakin bahawa Jack ialah bapa kepada bayi dalam kandungan wanita tersebut.

Walau bagaimanapun, Jack meninggal dunia dalam satu kejadian tanah runtuh sebelum sempat melihat cahaya matanya. Jill yang sedih selepas kehilangan pasangannya menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas melahirkan anak mereka.
Kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Jill’s son (anak lelaki Jill) kemudiannya dibesarkan oleh penduduk kampung tersebut. Sekiranya anda mahu tahu, keturunan beliau dipercayai masih wujud sehingga ke hari ini dengan nama keluarga Gilson.
Adakah anda tahu akan kisah-kisah menakutkan di sebalik semua lagu yang dikongsikan dalam artikel ini?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: