Pada tahun 1965, kerajaan Malaysia telah menyalurkan sumbangan sebanyak 5,000 dollar Malaya (bersamaan dengan RM28,000 pada hari ini) kepada Korea Selatan untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan jambatan di daerah Paju sempena menandatangani hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
Ia dikenali sebagai Jambatan Malaysia dan siap dibina pada tahun 1966. Walaupun Korea Selatan boleh dikatakan lebih maju berbanding Malaysia pada hari ini, jambatan tersebut kekal menjadi simbol persahabatan antara kedua-dua buah negara.
Dalam pada itu, YouTuber terkenal iaitu Blimey pernah pergi ke lokasi berkenaan pada November tahun lalu untuk menyaksikan sendiri jambatan ini.
Menerusi video tersebut, seorang penduduk tempatan berkata bahawa mereka tidak dapat melintasi sungai ketika musim hujan sebelum pembinaan jambatan tersebut.

Untuk pengetahuan anda, beberapa tempat di Korea Selatan telah musnah kerana dilanda banjir pada waktu itu. Bagi meringankan beban penduduk Korea Selatan, kerajaan Malaysia telah menyalurkan sumbangan sebanyak 1.32 juta won untuk pembinaan jambatan tersebut.
Hubungan antara kedua-dua buah negara meningkat apabila Malaysia melaksanakan Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1981. Korea Selatan pula melaksanakan Dasar Selatan Baharu pada 2017.
Hubungan dagang antara Malaysia dan Korea Selatan telah meningkat sebanyak 6,370 kali ganda sepanjang 60 tahun hubungan diplomatik ini termeterai. Adakah anda tahu akan Jambatan Malaysia yang terletak di Paju sebelum membaca artikel ini?
Untuk membaca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: