Ini Kisah Di Sebalik Fenomena Simbol Capal Rasulullah Di India

Simbol mirip capal Rasulullah S.A.W. merupakan antara simbol yang seringkali diangkat dalam beberapa gerakan besar masyarakat Islam di dunia.

Malah di negara kita juga terdapat beberapa pihak yang cuba mempromosikan penggunaan logo yang berasaskan capal Nabi Muhammad S.A.W. berkenaan sebagai satu bentuk peringatan kita kepada Baginda.

Majoriti masyarakat Muslim di beberapa negara seperti India dan Pakistan meletakkan simbol itu ke satu tahap yang agak tinggi sehinggakan ia dijadikan perkara norma aktiviti harian.

Antara kumpulan aliran Islam yang paling kerap menggunakan simbol berkenaan adalah aliran Barelvi yang aktif di India, Pakistan, Mesir dan Syria.

Sumber: Iluminasi

Aliran Barelvi merupakan cabang aliran Islam yang berpegang kepada Mazhab Hanafi. Doktrin utama Barelvi meletakkan Rasulullah S.A.W. sebagai individu yang perlu disanjung.

Golongan Barelvi turut menjulang Baginda tanpa kompromi sehingga membolehkan matlamat mereka yang menghalalkan cara.

Pemikiran tersebut menjadi punca utama kepercayaan mereka yang melahirkan individu seperti Mumtaz di mana kematiannya dijulang disebabkan pengorbanan beliau mempertahankan kebenaran.

Bermulanya populariti capal Rasulullah S.A.W.

Sumber: Iluminasi

Penggunaan capal Rasulullah S.A.W. sebagai satu simbol yang disanjung bermula sebelum wujudnya gerakan Barelvi sendiri.

Ia dipercayai berasal daripada era Sultan Selim I yang merupakan salah seorang sultan terkemuka zaman Empayar Uthmaniyah yang berjaya menawan jajahan kerajaan Mamluk.

Kerajaan Uthmaniyah berjaya menguasai banyak relik dan artifak Islam yang dimiliki kerajaan sebelumnya, termasuklah capal Rasulullah S.A.W. di bawah pemerintahan Sultan Selim I.

Capal tersebut kini dipamerkan di Muzium Istana Topkapi, Istanbul.

Semasa era pemerintahan tersebut, reka bentuknya diambil dan ditiru untuk dijadikan simbol perhiasan rumah segelintir masyarakat di Maghribi di mana ia dipercayai bermulanya penggunaan simbol tersebut.

Dikenali sebagai istilah ‘nalain shareef’, simbol capal mula menjadi simbol penting yang berkembang seiring dengan perkembangan aliran Barelvi.

Simbol berkenaan mula dipasang di rumah ibadah yang kini cukup sinonim dengan gerakan tersebut.

Kepentingan simbol tersebut dalam doktrin aliran Barelvi diperkukuhkan oleh fatwa yang dikeluarkan Hassan Raza Khan adik kepada pemimpin utama aliran itu, Ahmad Raza Khan.

“Jika aku boleh meletakkan capal Rasulullah S.A.W. di atas kepalaku, aku akan menganggapnya sebagai satu penghormatan bagiku.”

Simbol capal Rasulullah S.A.W. dari perspektif masyarakat Malaysia

Di kalangan pengikut aliran Sufi seperti Barelvi serta beberapa aliran lain, dipercayai bahawa air yang direndam dengan capal Rasulullah S.A.W. apabila diminum, ia mampu menyihatkan tubuh badan.

Ada juga yang mempercayai bahawa simbol capal di rumah mampu melindungi penghuninya manakala memakai simbol itu mampu melindungi si pemakai daripada bala.

Ini menyebabkan simbol capal dipasangkan di merata-rata tempat termasuk sebagai perhiasan mimbar beberapa masjid seperti bukti lambang kecintaan kepada Rasulullah S.A.W.

Terdapat satu insiden tahun 2016 semasa majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah yang diadakan di Alor Setar, ramai pengunjung yang hadir berpusu-pusu cuba mencium capal yang dikatakan milik Rasulullah S.A.W.

Tindakan tersebut mendapat teguran daripada Mufti negeri Kedah di mana beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai perkara yang melampau.

Sumber: Youtube

Beliau menasihatkan agar tindakan bersederhana lebih baik diamalkan dan terdapat cara lain untuk masyarakat Islam bagi mengingati Rasulullah seperti amalan berselawat.

Apa pula pendapat anda tentang perkara ini?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: