Azusagakuyuki mungkin bukanlah satu nama yang asing kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi di Jepun. Untuk pengetahuan anda, @azusagakuyuki ialah seorang wanita yang kerap memuat naik gambar-gambar dirinya bersama motosikal berkuasa tinggi di laman Twitter.
Walaupun gambar-gambar dimuat naik ke akaun tersebut kelihatan seperti seorang biker muda yang kerap bergambar dengan motosikal berkuasa tinggi, kisah sebenar di sebalik semua ini agak mengejutkan Jepun yang telah tertipu dengan ‘wanita’ tersebut.
Berbeza dengan tanggapan ramai, wanita dalam gambar berkenaan bukan seorang gadis muda seperti yang digambarkan di Twitter tetapi adalah seorang lelaki berusia 50 tahun.

Semuanya berjalan dengan lancar kerana tiada seorang pun yang meragui foto-foto yang dimuat naik di @azusagakuyuki. Tanpa sedar, setiap gambar yang dimuat naik sentiasa menerima sambutan daripada orang ramai.
Ia sekali gus membuatkan dirinya berubah menjadi seorang individu terkenal dalam masa yang singkat. Lelaki itu tidak menyembunyikan perasaan gembiranya kerana dia sangat menyukai ‘sambutan’ yang diterima pada ketika ini.
Walaupun begitu, identiti sebenar lelaki tersebut mula terbongkar apabila wajah sebenarnya terpapar pada cermin sisi motosikal secara tidak sengaja dan ia kemudiannya disedari oleh sesetengah pengikutnya.
Menerusi sebuah temu ramah bersama rancangan televisyen Monday Late Show, lelaki ini buka cerita kenapa dia membuat keputusan untuk menyamar sebagai seorang wanita di Twitter.

Lelaki itu menjelaskan bahawa dia hanya mahu berkongsi gambar-gambar motosikal dan tempat-tempat yang dikunjunginya kepada orang ramai.
Namun, dia tahu dan sedar daripada pengalamannya sendiri bahawa foto seorang pakcik dengan motosikalnya tidak akan menarik perhatian orang ramai.

Hal ini demikian kerana lelaki terbabit pernah menunjukkan rupa sebenarnya tetapi ia tidak menerima sambutan seperti yang diharapkan. Faham dengan ‘kehendak’ pengguna internet, ia memberi inspirasi kepada lelaki tersebut untuk cuba mengubah wajahnya menjadi seorang wanita dengan bantuan aplikasi FaceApp.

FaceApp ialah aplikasi menyunting foto yang membenarkan para pengguna menggunakan filter. Salah satu filter yang ditawarkan dalam aplikasi tersebut ialah pengguna boleh menukar jantinanya.
Secara ringkasnya, lelaki berkenaan berjaya mengubah paras rupanya menjadi seorang gadis muda seperti yang dikenali ramai menerusi aplikasi FaceApp. Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: