Ini Cara Pemandu Bas Di Jepun Tunjuk Perasaan Terhadap Majikan Mereka

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Jepun sememangnya terkenal di mata dunia dengan budaya yang unik dan budi bahasanya. Oleh itu, ia bukan satu situasi yang pelik untuk melihat para pekerja di Jepun melakukan protes kepada majikan mereka secara berhemah.

Untuk pengetahuan anda, pemandu bas Ryobi Group di Okayama, Jepun pernah mengadakan protes terhadap syarikat berkenaan pada tahun 2018.

Memetik laporan Japan Today, pemandu bas Ryobi difahamkan telah melakukan protes tersebut selepas munculnya persaingan daripada syarikat baharu iaitu Megurin.

Sumber: Japan Today

Disebabkan Megurin menawarkan tambang pada harga yang jauh lebih murah, ramai penumpang setia bas Ryobi pun telah berubah angin secara tidak langsung.

Namun, apa yang membuatkan persaingan tersebut menjadi lebih sengit adalah kedua-dua syarikat bas ini turut mempunyai beberapa laluan dan hentian yang sama.

Bukan sahaja menawarkan tambang yang lebih murah berbanding pesaingnya, Megurin juga turut menyediakan bas yang agak comel untuk menarik perhatian pelanggan.

Sudah tentu, tindakan syarikat pesaing telah menjejaskan pendapatan para pemandu bas Ryobi. Oleh itu, mereka bersuara kepada pihak pengurusan tetapi permintaan mereka tidak dilayan sama sekali.

Tambang percuma sebagai tanda protes

Memandangkan permintaan mereka tidak dilayan sama sekali, para pemandu membuat tunjuk perasaan kepada syarikat mereka menerusi pelaksanaan kempen tambang percuma buat semua penumpang bas Ryobi.

Mereka tidak melakukan protes kekecohan kerana bimbang tindakan tersebut akan memberi imej buruk kepada Ryobi dan juga mengganggu kehidupan harian penduduk yang menggunakan servis bas mereka.

Operasi laluan bas tetap berjalan seperti biasa namun para penumpang tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk duit tambang kerana ia merupakan tanda protes mereka terhadap majikan.

Tidak berhenti di situ, mesin pengimbas tambang pembayaran nirtunai juga ditutup dengan dengan kain untuk menghalang penumpang membayar tambang bas.

Walaupun protes ini kelihatan remeh, setiap bas yang bergerak di jalanan tanpa mengutip tambang sepatutnya akan menyumbang kepada lebih banyak kerugian buat syarikat.

Sekiranya anda mahu tahu, cara tersebut dilaporkan sangat berkesan kerana majikan mula mendengar keluhan pemandu bas dan sekali gus menunaikan permintaan mereka. Apa pendapat anda?

Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: