Ini Asal Usul Sebutan Nama 4 Negara Dalam Bahasa Melayu

Pernahkah anda terfikir bagaimana empat buah negara ini mempunyai nama berbeza dalam bahasa Melayu dengan apa yang digunakan oleh masyarakat antarabangsa?

1. Belanda- Netherlands -Holland

Nama rasmi negara berkenaan ialah Kingdom of the Netherlands. Holland pula merujuk kepada dua wilayah dalam negara tersebut iaitu Noord-Holland (Holland Utara) dan Zuid-Holland (Holland Selatan).

Selepas apa yang kita sekarang kenali sebagai Netherlands dijajah oleh Perancis pada tahun 1795, ia berubah menjadi Republik Batavia. Adik Napoleon, Raja Louis menaiki takhta pada tahun 1806 dan sekali gus mengubah negara tersebut menjadi sebuah kerajaan.

Netherlands kekal menjadi sebuah kerajaan walaupun selepas Napoleon dijatuhkan. Pada masa itu, wilayah Holland menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara sehingga namanya menjadi begitu sinonim dengan Netherlands berdasarkan penjelasan Holland.com.

Terdapat pelbagai teori mengenai kewujudan nama Belanda. Salah satu daripadanya ialah Balanda merujuk kepada orang berkulit putih yang datang ke Kepulauan Melayu dari Holland.

Selain itu, ada juga yang berkata nama Belanda itu berpunca daripada peristiwa muzakarah Ulama Melayu pada tahun 1650.

Mereka bersetuju untuk menggelarkan kumpulan orang berkulit putih yang datang ke Kepulauan Melayu sebagai belahnde di mana belah membawa maksud penyebab terpecahnya dan nde ialah keluarga.

2. Maghribi – Morocco

Perkataan Maghribi diambil daripada nama asal negara berkenaan iaitu al-Mamlakah-al-Maghribiyyah yang membawa maksud Kingdom of the West.

Morocco merujuk kepada nama ibu negara Maghribi, Marrakesh dalam bahasa Sepanyol iaitu Marruecos. Pihak Inggeris menggunakan perkataan Morocco sebagai ganti Marruecos untuk memudahkan ejaan dalam bahasa mereka.

3. Jepun- Nihon- Japan

Nama sebenar Jepun ialah Nihon iaitu gabungan dua huruf kanji Ni (matahari) dan hon (permulaan, punca). Apabila kedua-dua huruf itu digabungkan, ia disebutkan sebagai Nihon atau Nippon yang membawa maksud negara matahari terbit.

Marco Polo merujuk Jepun dengan nama yang diberikan oleh masyarakat China iaitu Cipangu. Pedagang Portugis pula merujuk Jepun dengan nama yang diberikan oleh penduduk Tanah Melayu iaitu Jipang tetapi mereka menggunakan ejaan Giapan.

Asal usul nama Japan datang daripada cara sebutan orang Belanda yang menggelarkan negara tersebut sebagai Yatpun.

4. Amerika Syarikat

Statue of Liberty, New York under white and blue cloudy skies

Sekiranya kita menterjemahkan United States of America secara terus ke bahasa Melayu, ia membawa maksud Negeri-negeri Bersatu atau Bersekutu Amerika.

Kita sebaliknya menggelarkan Amerika Syarikat daripada penggunaan perkataan sarekat yang dipopularkan oleh penubuhan Sarekat Dagang Islam di Indonesia. Sarekat adalah berasal daripada perkataan Arab sharikat yang menggambarkan bentuk kerjasama beberapa pihak.

Sebelum membaca artikel ini, nama negara manakah dalam bahasa Melayu yang paling membuat anda keliru?

Sumber: