Baru-baru ini, Pakatan Harapan mengusulkan undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha untuk mengambil semula tampuk pemerintahan daripada Perikatan Nasional.
Untuk pengetahuan anda, sistem pentadbiran negara ini dibentuk berasaskan sistem Westminster United Kingdom. Dalam erti kata lain, ia membolehkan undi tidak percaya diadakan untuk mencabar kedudukan sebuah kerajaan secara terbuka.
Penulis kongsikan apa yang akan berlaku sekiranya kerajaan khususnya perdana menteri sendiri tewas daripada segi kiraan undi menerusi artikel ini:
2 kemungkinan yang akan berlaku sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak terima sokongan majoriti

Oleh sebab sistem pentadbiran yang diamalkan oleh Malaysia tidak mempunyai banyak perbezaan daripada apa yang dijalankan di United Kingdom, ini adalah dua kemungkinan yang boleh berlaku sekiranya perdana menteri tidak menerima sokongan majoriti.
Dalam situasi ini, kuasa akan diberikan sepenuhnya kepada Ketua Negara iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Dengan menjadikan apa yang berlaku di United Kingdom sebagai rujukan, Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai dua pilihan yang akan ditentukan oleh Sultan Abdullah. Berikut adalah dua kemungkinan yang akan berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin:
1. Tan Sri Muhyiddin boleh mendapatkan nasihat Ketua Negara dalam menentukan langkah seterusnya.
2. Beliau boleh letak jawatan sekiranya ada individu lain yang menerima sokongan majoriti daripada ahli Dewan.
Kedua-dua pilihan di atas akan mengembalikan kuasa sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Kuasa Ketua Negara

Yang di-Pertuan Agong berhak menerima atau menolak peletakan jawatan perdana menteri sehingga baginda berjaya menemui pengganti.
Ketua Negara boleh menggunakan budi bicara untuk melantik individu yang jelas mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri dan sekali gus membolehkan Kabinet baharu dibentuk. Perdana menteri lama perlu meletakkan jawatan sekiranya perkara ini berlaku.
Selain itu, Ketua Negara juga mempunyai hak dalam menentukan sama ada pembubaran Parlimen perlu dilakukan untuk membolehkan pilihanraya semula diadakan ataupun baginda rasa kerajaan masih boleh berfungsi di bawah pimpinan perdana menteri yang tidak menerima sokongan majoriti sehingga salah satu kondisi itu dipenuhi.
Adakah perdana menteri perlu letak jawatan sekiranya beliau hilang sokongan majoriti?
Perdana menteri tidak perlu letak jawatan sekiranya beliau hilang sokongan majoriti. Secara ringkasnya, beliau hanya perlu letak jawatan apabila pihak pembangkang berjaya menamakan seorang wakil yang jelas menerima sokongan majoriti daripada ahli Dewan.
Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak menerima peletakan jawatan beliau secara rasmi, maka perdana menteri itu masih layak memegang jawatan tersebut walaupun tanpa sokongan majoriti.
Bagi yang masih keliru, perdana menteri tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan Ketua Negara calon sesuai sebagai penggantinya. Baginda sebaliknya akan melantik mana-mana individu yang berjaya membuktikan dirinya menerima sokongan majoriti daripada ahli Dewan.
Perdana menteri sebagai penasihat manakala Yang di-Pertuan Agong sebagai penentu
Sekiranya semua situasi di bawah berlaku pada masa yang sama:
1. Tan Sri Muhyiddin tewas undi tidak percaya
2. Pakatan Harapan gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa salah seorang wakil mereka menerima sokongan majoriti daripada ahli Parlimen
3. Agong tidak menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin kerana ketiadaan pengganti
Tan Sri Muhyiddin boleh meminta agar Parlimen dibubarkan dan pilihanraya diadakan untuk membentuk kerajaan baharu. Beliau boleh mencadangkan pembubaran Parlimen manakala Pakatan Harapan boleh menghalang pilihanraya umum daripada berlaku dengan menamakan calon baharu Perdana Menteri Malaysia.
Kedua-dua pihak perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Penulis berharap kemelut politik negara ini dapat diselesaikan dalam kadar segera.