*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Iluminasi dan Forbes
Sejak diperkenalkan pada 14 Mac 1950, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mewujudkan senarai ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang ancaman penjenayah yang kini dalam buruan pihak berkuasa.
Kami kongsikan tujuh fakta menarik tentang senarai most wanted FBI sejak ia ditubuhkan 72 tahun lalu dalam artikel ini:
1. Ia menggantikan sistem musuh awam

Sebelum senarai paling dikehendaki FBI ini diwujudkan, tiada kaedah sistematik untuk menyasarkan pelarian paling bahaya di Amerika Syarikat.
Musuh awam merupakan yang paling hampir dengan senarai paling dikehendaki FBI tetapi ia bukanlah satu sistem penguatkuasaan yang rasmi.
Suruhanjaya Jenayah Chicago telah mencipta frasa public enemy ataupun musuh awam pada tahun 1930 ketika jenayah terancang sedang berleluasa.
Jabatan Kehakiman dan FBI mula menggunakan istilah musuh awam beberapa tahun kemudian untuk melabel penjenayah berbahaya seperti John Dillinger.
Hasil kerjasama dengan pihak media, FBI mula mewujudkan senarai paling dikehendaki atau most wanted pada tahun 1950. Pihak FBI akan menilai penjenayah itu terlebih dahulu sebelum memasukkan mereka ke dalam senarai ini.
2. Berubah mengikut zaman
Ada yang menganggap senarai paling dikehendaki ini berubah mengikut agenda politik. Ketika ia mula diwujudkan, fokus utama senarai ini adalah untuk memburu perompak bank, pencuri kenderaan dan apa-apa sahaja berkaitan jenayah terancang atau mafia.
Pada tahun 1960-an dan 1970-an, FBI mula menyenaraikan aktivis politik radikal daripada kumpulan sayap kiri seperti Assata Shakur dan Angela Davis dalam senarai paling dikehendaki mereka.
Ia bagaimanapun lebih tertumpu kepada pengedar dadah, pengganas antarabangsa dan individu melakukan jenayah berat pada hari ini.
3. Thomas James Holden suspek pertama dalam senarai most wanted

Memetik laporan FBI, Thomas James Holden merupakan pelarian pertama yang ditempatkan dalam senarai paling dikehendaki pada 14 Mac 1950.
Grunge melaporkan Thomas telah melakukan pelbagai rompakan dan melarikan diri dari Penjara Persekutuan Leavenworth sebelum dia ditangkap semula dan dimasukkan ke Penjara Alcatraz di Amerika Syarikat.
Thomas telah mengambil nyawa isterinya dan dua orang adik-beradik iparnya dalam satu pergaduhan sebelum melarikan diri. Atas sebab itu, nama Thomas dimasukkan dalam senarai paling dikehendaki FBI.
4. Ruth Eisemann-Schier wanita pertama dalam senarai paling dikehendaki FBI

Ruth dan rakan subahatnya iaitu Gary Stephen Krist telah menculik Barbara Jane Mackle yang merupakan anak kepada seorang jutawan hartanah pada tahun 1968. Ruth dan Gary telah menanam Barbara dalam sebuah kotak kaca yang dilengkapi pam udara.
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan Barbara selepas lebih tiga hari wanita itu ditanam dan berjaya menangkap Ruth serta Gary tidak lama selepas itu.
Pada 5 Mac 1969, ejen-ejen FBI telah memberkas Ruth di Norman, Oklahoma, Amerika Syarikat. Ruth dan Gary didakwa di Georgia atas tuduhan penculikan bersama wang tebusan.
5. Billie Austin Bryant suspek tersingkat dalam senarai paling dikehendaki

Billie merupakan seorang perompak bank terkenal di Wshington, Amerika Syarikat ketika dia dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 1968. Selepas melarikan diri dari penjara pada tahun sama, Billie kembali melakukan beberapa siri rompakan bank.
Pada 8 Januari 1969, Billie telah menyebabkan dua orang anggota polis cedera ketika mereka cuba menahan penjenayah itu. Nama Billie dimasukkan ke senarai paling dikehendaki FBI selepas insiden itu.
FBI melaporkan Jabatan Polis Metropolitan menerima panggilan daripada tuan rumah tempat Billie bersembunyi pada hari yang sama. Lelaki itu berkata dia mendengar bunyi bising dari loteng di atas rumahnya.
Individu itu telah mendengar berita dua orang anggota FBI ditembak dan dia mula curiga dengan bunyi bising tersebut memandangkan insiden itu berlaku di kawasan sekitar. Billie ditahan dua jam selepas namanya tersenarai dalam senarai paling dikehendaki FBI.
6. Victor Manuel Gerena suspek terlama dalam senarai

Victor dan rakan subahat telah mencuri $7,000,000 dari tempat kerjanya di West Hartford, Connecticut, Amerika Syarikat pada tahun 1983.
Pihak berkuasa kemudiannya mendapati Victor merupakan ahli kumpulan nasionalis sayap kiri Los Macheteros yang memperjuangkan kemerdekaan Puerto Rico dari Amerika Syarikat.
Victor tidak pernah ditangkap dan namanya akhirnya dikeluarkan daripada senarai paling dikehendaki FBI pada 2016 selepas 32 tahun.
7. Eugene Palmer suspek tertua dalam senarai paling dikehendaki FBI

Eugene berusia 80 tahun ketika namanya dimasukkan dalam senarai paling dikehendaki FBI pada 29 Mei 2019. Lelaki itu dikehendaki polis kerana didakwa telah mengambil nyawa menantunya iaitu Tammy Palmer pada 24 September 2012 di New York, Amerika Syarikat dan melarikan diri selepas itu.
Memetik laporan Times Herald-Record, hubungan Eugene dan Tammy mula menjadi keruh selepas wanita itu memfailkan perintah mahkamah terhadap suaminya John.
Suspek yang kini berusia 83 tahun masih bebas dan dianggap bahaya kepada orang awam. Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: