Baru-baru ini, vaksin virus COVID-19 baru sahaja tiba di Malaysia dan orang ramai sudah boleh mendaftarkan diri untuk menerima dos vaksin.
Kerajaan turut menggesa semua rakyat untuk mengambil perlindungan yang disediakan secara percuma ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir yang masih ragu-ragu dengan program vaksinasi ini.
Tambah pula dengan banyak khabar angin mengenai vaksin ini tersebar di Internet. Anda mungkin mempunyai beberapa kebimbangan terhadap vaksin tersebut.
Berikut kami kongsikan beberapa mitos mengenai vaksin COVID-19 dan kebenaran di sebaliknya:
1.Pembuatan vaksin yang tergesa-gesa

Vaksin pertama COVID-19 memang melibatkan teknologi baharu dan diperkembangkan dalam masa singkat. Ini tidak bermakna vaksin dihasilkan dengan jalan pintas.
Teknologi baharu vaksin jenama Pfizer dan Moderna yang dikenali sebagai messenger RNA (mRNA) digunakan buat pertama kalinya secara meluas dalam vaksin untuk kegunaan umum.
Namun, para penyelidik sebenarnya telahpun membangunkan strategi vaksin ini lebih 30 tahun.
Menurut Ketua Jabatan Keradangan dan Imuniti di Institut Penyelidikan Klinik Lerner, Cleveland, Amerika Syarikat, Dr. Thaddeus Stappenbeck, teknologi tersebut telah dibangunkan sejak beberapa tahun melalui puluhan ribu ujian.
Apabila COVID-19 melanda dunia, teknologi ini dilihat amat sesuai digunakan dalam penghasilan vaksin.
Memandangkan COVID-19 mempunyai banyak persamaan dengan virus berjangkit yang lain, syarikat pengeluar vaksin hanya memerlukan beberapa bulan sahaja bagi melakukan ujian klinikal dan mengumpul data mencukupi.
2. Bahan dalam vaksin adalah rahsia dan berisiko

Kedua-dua jenama Pfizer dan Moderna sebenarnya telahpun menyenaraikan ramuan digunakan kepada umum.
Selain mRNA sebagai bahan utama, kedua-dua vaksin ini mengandungi lipi (lemak) yang dapat bantu salurkan mRNA ke dalam sel badan.
Terdapat juga beberapa bahan lain bagi menyelaras kandungan pH dan kestabilan vaksin.
Walaupun terdapat teori yang menyatakan vaksin mengandungi cip mikro, vaksin ini terbukti tidak mempunyai cip mikro atau sebarang bentuk alat penjejak lain.
3. Tidak perlu vaksin kerana tahap kesembuhan tinggi

Memang benar kebanyakan yang dijangkiti COVID-19 dapat pulih semula. Namun, terdapat juga yang mengalami komplikasi teruk. Setakat ini, seramai 2.4 juta orang telah maut akibat virus ini di seluruh dunia.
Ada juga yang sembuh tetapi perlu mendapatkan rawatan lanjut kerana virus COVID-19 ini telah mengakibatkan kerosakan pada paru-paru, jantung, otak dan beberapa komplikasi lain.
Antara sebab lain kenapa anda perlu mengambil vaksin adalah untuk melindungi orang sekeliling. Anda mungkin mampu sembuh dengan mudah tetapi tidak semua orang di sekeliling anda dapat nasib yang sama.
Vaksinasi secara meluas dapat melindungi populasi termasuk golongan yang berisiko tinggi dan juga yang tidak dapat vaksin akibat masalah tertentu.
4. Tidak perlu penjarakan sosial atau memakai pelitup muka setelah vaksin

Anda mesti terus memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mempraktikkan fizikal walaupun sudah mendapat vaksin.
Menurut Dr. Stappenbeck, seseorang yang disuntik vaksin memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau 10 hari untuk tubuh membentuk antibodi dan meningkatkannya beberapa minggu ke hadapan.
Selain itu, vaksin ini bertujuan untuk mencegah penyakit teruk dan kematian akibat COVID-19. Masih tiada lagi kajian yang mampu melindungi daripada jangkitan secara menyeluruh atau penyebaran tanpa gejala.
5. Vaksin COVID-19 akan menyebabkan kemandulan

Vaksin COVID-19 tidak mengandungi virus hidup. Ia hanya mengandungi mRNA. Oleh itu, vaksin tersebut tidak akan menyebabkan peningkatan risiko kemandulan, keguguran atau kecacatan janin.
Sudahkah anda mendaftarkan diri untuk divaksin?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: