Facebook mempunyai lebih 25 juta pengguna di Malaysia dan pastinya ramai antara anda juga memiliki akaun media sosial tersebut.
Namun, tahukah anda bahawa Facebook mengetahui pelbagai maklumat peribadi kita? Ramai yang tidak menyedari betapa mendalamnya maklumat tersebut.
Walaupun anda mengambil keputusan untuk memadam akaun Facebook atau berhenti menggunakannya, anda tetap tidak dapat menghalang aplikasi tersebut daripada menjejaki anda.
Facebook tetap menyimpan profil anda walaupun tidak digunakan lagi.
Berikut kami kongsikan 5 maklumat peribadi seseorang yang diketahui Facebook:
- Ideologi politik

Facebook mengetahui apa ideologi politik anda walaupun tidak pernah mendedahkannya atau like mana-mana profil ahli politik sekalipun.
Ia boleh menentukan kecenderungan politik anda dengan melihat seluruh aktiviti dan dari situlah laman sosial itu dapat menilai sama ada anda seorang liberal, sederhana atau konservatif.
Sebilangan penganalisis berpendapat bahawa Facebook menjejakinya melalui interaksi anda dengan apa sahaja dalam Internet.
Sebagai contoh, bila anda like sesuatu artikel atau laman mengenai kisah patriotik, anda mungkin dianggap sebagai seorang yang konservatif menurut Facebook.
2. Kisah percintaan

Facebook sebenarnya sudah tahu tentang perhubungan cinta anda sebelum anda dapat menyiarkannya secara rasmi di profil.
Hasil daripada menganalisis data, Facebook dapat meramal dua pengguna berkenaan bakal menjadi kekasih.
Ia dapat tahu apabila berlaku peningkatan komen antara dua orang secara tiba-tiba. Secara purata, bakal kekasih akan menulis 1.50 hantaran sehari pada laman pasangan 85 hari sebelum menjadi kekasih.
3. Panggilan, SMS dan MMS

Facebook menyimpan setiap perincian panggilan, SMS dan juga MMS termasuklah nama, nombor dan tarikh.
Pada 2018, dilaporkan bahawa beberapa pengguna Android telah memuat turun arkib data mereka yang terdapat di Facebook dan terkejut apabila semua data panggilan, SMS dan MMS mereka disimpan sejak 2015.
Pengguna iOS bernasib baik di mana Apple tidak membenarkan pihak ketiga mengakses maklumat tersebut.
Facebook sebenarnya telah meletakkan syarat wajib apabila pengguna memuat turun dan menggunakan aplikasi mereka.
Walaupun pengguna Android yang lebih baru diberi pilihan, ada beberapa pengguna mendakwa bahawa Facebook masih boleh mengakses maklumat walaupun tidak bersetuju untuk berkongsi maklumat.
4. Kewujudan anda

Walaupun anda tidak mempunyai akaun Facebook atau telah menghapuskan akaun, ini tidak bermaksud anda tidak boleh dijejaki Facebook.
Aplikasi tersebut sebenarnya tahu tentang kewujudan anda. Ia berlaku apabila anda mempunyai rakan atau kenalan yang menggunakan Facebook.
Contohnya, jika rakan anda menggunakan Facebook, segala maklumat kenalannya termasuk nombor telefon juga akan disimpan.
Apabila anda mula mendaftar dengan Facebook, data ini digunakan bagi mencadangkan ‘people you may know’ walaupun anda tidak pernah memuat naik apa-apa maklumat atau mempunyai mutual friends dengan mereka.
5. Corak tidur

Facebook Messenger mempunyai ciri-ciri yang dapat mengesan corak tidur anda ketika menggunakan aplikasi di mana-mana peranti anda.
Dengan menulis coding yang betul, Facebook dapat tahu status semua orang dalam senarai sama ada mereka online, offline atau online tetapi tidak aktif.
Jadi, apa pendapat anda tentang perkara ini?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: