Ramai di antara kita merupakan peminat tegar minuman kopi. Ada juga yang tidak keruan kalau tidak minum kopi seharian.
Namun, tahukah anda tabiat meminum kopi pada awal waktu pagi boleh menyebabkan banyak keburukan kepada diri?
Kajian mendapati bahawa masa yang terbaik untuk menikmati secawan kopi adalah pada pertengahan hingga lewat pagi sekitar pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.
Berikut kami kongsikan 5 kesan minum kopi pada awal pagi:
1.Anda berasa lebih mengantuk

Kopi biasanya diminum pada awal pagi bagi menyegarkan dan membuatkan kita tidak mengantuk. Walau bagaimanapun, minum kopi sebaik sahaja anda bangun dari tidur dapat memberikan kesan di sebaliknya.
Kafein yang terkandung dalam kopi menggandakan kadar hormon stres dan menyebabkan masalah pola tidur. Jika pagi anda dimulakan dengan meminum kopi bergula, anda juga akan berasa mengantuk semula dalam masa singkat.
Ia berlaku kerana badan kita menghasilkan insulin bagi mengimbangi gula, menyebabkan kadar glukosa darah anda turun.
Perkara tersebut akan mengakibatkan kekurangan tenaga dan kegelisahan.
2. Badan kehilangan mineral penting dengan lebih cepat

Meminum kopi pada awal pagi juga boleh menyebabkan badan anda kehilangan banyak vitamin dan mineral penting.
Ia akan mengganggu proses penyerapan zat besi, magnesium dan vitamin B yang sangat penting untuk sistem saraf.
Pengambilan kafein yang terlalu banyak juga dapat mengurangkan kalsium dari tulang dan menjadikannya lemah dan rapuh.
3. Menyebabkan ketidakselesaan pada perut

Kopi juga boleh mengaktifkan sistem saraf dan mempengaruhi usus besar yang boleh menyebabkan cirit-birit.
Ramai juga yang kerap menambahkan susu ke dalam kopi mereka. Oleh kerana kebanyakan dari kita sukar mencerna laktosa, ia juga boleh menyebabkan perut tidak selesa.
4. Boleh menyebabkan kenaikan berat badan

Banyak minuman kopi popular seperti Starbucks dan sebagainya ditambah dengan manisan yang mengandungi gula dan kalori yang agak tinggi.
Ia boleh menyebabkan berat badan anda bertambah jika diminum dengan kerap.
Walaupun anda lebih gemar memilih kopi hitam kerana tidak mengandungi gula yang banyak, ia dapat mengganggu pola tidur anda.
5. Boleh menyebabkan kulit kering

Oleh kerana kopi membuatkan anda keluar masuk ke tandas dengan kerap, ia juga akan membuatkan badan anda kehilangan banyak air.
Apabila anda mengalami dehidrasi, toksin dalam badan pun sukar untuk keluar melalui kulit dengan berpeluh.
Akibatnya ia menyebabkan kulit anda kering dan lebih terdedah kepada pelbagai masalah kulit seperti kedutan pra-matang.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: