Ini 5 Filem Patriotik Yang Diadaptasi Daripada Kisah Benar

Hari Merdeka atau disebut juga sebagai Hari Kebangsaan disambut di seluruh negeri pada 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara kita telah bebas daripada belenggu penjajah sejak 1782 sehingga tahun 1957.

Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 yang akan berlangsung tidak lama lagi, kami senaraikan kepada anda 5 filem patriotik adaptasi daripada kisah benar yang perlu anda tonton untuk lebih menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin dan perajurit-perajurit tanah air.

1. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong yang diarahkan oleh Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981 diangkat daripada kisah benar mengenai perjuangan pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada tahun 1950. Kemuncak pertempuran berlaku pada 23 Februari di balai polis Bukit Kepong yang pada ketika itu mempunyai 18 orang anggota.

Filem ini menggambarkan walaupun pasukan polis diserang seramai 180 orang pengganas komunis, namun mereka tetap berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi untuk mempertahankan negara. Filem ini dibintangi oleh Tan Sri Jins Shamsudin sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

2. Leftenan Adnan

Filem arahan Aziz M Osman yang ditayangkan pada tahun 2000 ini, menampilkan garapan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang telah terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun.

Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh.

Filem ini dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Hairie Othman, Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

3. Paloh

Filem arahan Adman Salleh yang ditayangkan pada tahun 2003 ini digarap daripada kisah benar penduduk Tanah Melayu yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya. Pergolakan ini menyebabkan masyarakat Malaya sekitar tahun 1944 terpaksa hidup dalam tekanan kerana ada yang ingin merdeka dan ada yang ingin terus dijajah.

Filem ini dibintangi oleh Janet Khoo, Nam Ron, Ellie Suriaty, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

4. 1957: Hati Malaya

Filem hebat yang diarahkan oleh Datin Paduka Suhaimi Baba ini berkisarkan mengenai golongan muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar yang bertajuk 1957: Hati Malaya. Filem ini turut menyelitkan tentang kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

Filem ini turut menyelitkan tentang kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan. Filem ini dibintangi oleh Maya Karin, Sharifah Amani, Ida Nerina dan ramai lagi.

5. Tanda Putera

Filem arahan Datin Paduka Suhaimi Baba ini diadaptasi daripada kisah benar yang memaparkan hubungan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Tanda Putera dibintangi oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim dan ramai lagi.

Berikut adalah antara 5 filem patriotik yang anda boleh tonton sempena Hari Kemerdekaan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mungkin ada banyak lagi senarai filem patriotik yang diadaptasi berdasarkan kisah benar yang kami terlepas pandang. Namun, itu tidak bermakna kami lupa akan perit jerih perjuangan pemimpin dan perajurit-perajurit tanah air dalam menuntut kemerdekaan.

Jadi, pernahkah anda menonton salah satu daripada filem yang dinyatakan? Jika ya, filem yang mana satukah yang menjadi kegemaran anda? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Sumber: