Ini 4 Kisah Nama Jalan-Jalan Yang Terkenal Di Kuala Lumpur

Seperti bandar-bandar bersejarah lain, ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur mempunyai pelbagai jalan yang dinamakan atas individu yang terkenal pada suatu masa dahulu.

Memetik laporan Lobak Merah, kebanyakan nama jalan-jalan lama di Kuala Lumpur telah diberikan ketika zaman penjajahan British dekat Selangor lagi.

Atas sebab itu, anda boleh melihat sebahagian besar nama jalan-jalan lama berkenaan dalam bahasa Inggeris ataupun ia melibatkan tokoh-tokoh Inggeris, kerabat diraja dan penduduk tempatan yang tidak ramai kita kenali.

Kami akan kongsikan empat kisah di sebalik nama jalan-jalan terkenal di ibu negara Malaysia dalam artikel ini.

1. Jalan Chow Kit

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, jalan ini dinamakan bersempena dengan nama seorang pelombong timah, ejen perkapalan, kaunselor perbandaran dan pegawai awam iaitu Loke Chow Kit.

Beliau telah berjasa kepada masyarakat tempatan dengan membuka banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai terutamanya dalam industri penghasilan produk timah.

Ketika ramai orang mempunyai pandangan serong dengan tempat ini, penyanyi popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad telah mengabadikan nama Chow Kit dalam lagunya.

Lirik lagu beliau menonjolkan Chow Kit sebagai sebuah tempat yang sibuk dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk membeli dan berjual diiringi suasana kemeriahan di sana sini dengan hampir semua barang boleh diperoleh di sini.

2. Jalan Raja Chulan

Sumber: The Star

Dinamakan bersempena Raja Di-Hilir Perak iaitu Yang Amat Mulia Raja Sir Chulan ibni Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah, jalan yang terletak di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur ini dikenali sebagai Jalan Weld sehingga tahun 1982. Siapa sebenarnya Raja Chulan?

Memetik laporan Siakap Keli, Raja Chulan adalah orang Melayu dan Malaysia pertama yang menjadi anggota penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan British Malayan Civil Service (MCS).

Sumber: OrangPerak

Pada tahun 1924, beliau dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Ketika menjadi ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Raja Chulan merupakan individu bertanggungjawab mendesak pihak British untuk menerima lebih banyak orang Melayu menyertai pentadbiran kerajaan MCS.

3. Jalan Yap Kwan Seng

Sumber: Free Malaysia Today

Dinamakan bersempena Kapitan Cina terakhir Selangor iaitu Yap Kwan Seng, salah satu pencapaian terbesar beliau yang masih wujud sehingga ke hari ini adalah menubuhkan Hospital Tung Shin ataupun turut dikenali sebagai Pooi Shin Tong.

Beliau telah menggunakan dana peribadi untuk memberikan perkhidmatan perubatan, rawatan dan bantuan pengebumian secara percuma kepada masyarakat memerlukan menerusi Pooi Shin Tong.

Free Malaysia Today melaporkan Victoria Institution telah diasaskan oleh Kwan Seng, Sultan Abdul Samad, William Hood Treacher, Loke Yew dan Thamboosamy Pillai pada 14 Ogos 1893.

4. Jalan Raja Laut

Sumber: Malaysiapost

Sebagai tanda penghargaan dan mengingati jasa serta bakti Almarhum Raja Laut, Selangorkini melaporkan nama beliau diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur.

Siapa sebenarnya Raja Laut dan apa jasa beliau? Tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880, Raja Laut merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3 iaitu Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.

Beliau turut menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890. Raja Laut turut bertanggungjawab menubuhkan sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur di mana Almarhum telah menghantar putera tunggalnya iaitu Raja Alang ke sekolah berkenaan.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur.

Adakah anda tahu kisah-kisah di sebalik nama semua jalan terkenal di Kuala Lumpur yang disebutkan dalam artikel ini?

Untuk baca artikel-artikel ini, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: