Seperti diketahui umum, realiti kehidupan di Korea Utara ini tidak dapat dibayangkan oleh orang luar kerana polisi dasar tertutup yang diamalkan oleh negara berkenaan.
Korea Utara secara umumnya agak konservatif dalam bab-bab percintaan. Setiap tingkah laku yang memaparkan kemesraan antara pasangan lelaki dan wanita ini tidak dibenarkan sama sekali.
Menurut seorang rakyat Korea Utara yang berjaya melarikan diri dari negara tersebut, kerajaan tidak dapat membendung fitrah manusia yang mahu hidup berpasangan.
Meskipun mengawal ketat gaya hidup rakyatnya, kerajaan Korea Utara juga dipercayai semakin berlembut dengan mereka yang mahu menunjukkan kemesraan di khalayak umum.
Kami akan kongsikan tiga realiti sebenar rakyat negara itu bertemu dengan pasangan mereka menerusi artikel ini:
1. Latihan ketenteraan

Bukan sahaja pelajar sekolah di negara ini tidak dibenarkan untuk bercinta, orang dewasa juga mempunyai halangan mereka tersendiri. Setiap lelaki dan separuh daripada wanita Korea Utara diwajibkan menyertai latihan ketenteraan.
Latihan ketenteraan ini tidak singkat kerana ia mengambil masa antara 8 hingga 10 tahun. Sekiranya bercinta ketika masih belajar, terdapat kemungkinan hubungan mereka akan menemui titik noktah sepanjang menjalani latihan ketenteraan.
2. Pusat hiburan ‘underground’
Walaupun tiada pusat hiburan yang dibuka pada waktu malam, kelab-kelab malam pula wujud untuk rakyat Korea Utara berhibur dan mungkin bertemu jodoh sekiranya mereka bernasib baik.
Ia biasanya dibuka di rumah-rumah tinggalan yang dilengkapi sistem kalis bunyi. Kelab-kelab ini juga memainkan muzik dari Korea Selatan dan negara-negara Barat.
Sekiranya ia diserbu oleh pihak berkuasa, mereka akan menukar playlist mereka kepada muzik-muzik tempatan yang dibenarkan sahaja.
3. Perkhidmatan cari jodoh

Individu yang berminat boleh membayar kemudahan servis pencari jodoh dengan harga 25 pound sterling (RM135). Mereka yang mendaftar ke skim ini akan dikirimkan gambar beberapa orang individu yang berpotensi menjadi pasangan hidup berserta maklumat peribadi.
Pelanggan kemudiannya boleh memilih mana-mana individu yang ingin dikenali dan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan tersebut untuk mengaturkan temu janji.
Perkhidmatan seperti ini diuruskan oleh syarikat yang mempunyai maklumat individu-individu yang berminat dengan servis mencari jodoh yang ditawarkan.
Pada pendapat anda, adakah cara rakyat Korea Utara bertemu pasangan mereka berbeza daripada masyarakat lain di seluruh dunia?