Ini 3 Bahasa Fiksyen Yang Lengkap Untuk Perbualan

Bahasa ialah salah satu elemen yang cukup penting untuk memudahkan kita berbual dengan manusia lain. Kepelbagaian bahasa sama ada melalui bentuk tulisan atau lisan ini kebiasaannya datang daripada pelbagai faktor seperti etnik, warisan, keturunan dan geografi.

Walau bagaimanapun, ada juga bahasa yang direka khas untuk kegunaan watak dalam filem-filem dan ia memerlukan penjanaan kreatif bagi menghasilkan bunyi, ejaan dan sistem tulisan mungkin tidak pernah wujud sebelum ini.

Kami kongsikan tiga bahasa fiksyen tetapi ia juga lengkap untuk anda gunakan dalam perbualan bersama orang lain menerusi artikel ini:

1. Na’vi (Avatar)

Filem yang diarahkan oleh James Cameron ini memaparkan penggunaan bahasa yang dinamakan sebagai Na’vi. Mereka yang bertutur dalam bahasa ini ialah makhluk asing yang tinggal di planet Pandora.

Ia dicipta oleh seorang profesor linguistik bernama Paul Frommer dari University of Southern California. Paul menghabiskan masa selama enam bulan untuk menghasilkan lebih 1,000 patah perkataan pertama.

Beliau kemudiannya menambah baik dan memperbaiki tatabahasa serta menambahkan jumlah perkataan kepada 2,900 jenis.

2. Valyrian Tinggi (Game of Thrones)

Pencipta bahasa unik yang digunakan dalam siri televisyen terkenal Games of Throne ialah seorang penulis dan ahli linguistik bernama David Peterson. David ialah individu yang turut sama membantu mencipta bahasa untuk Thor dan Doctor Strange.

David menubuhkan Language Creation Society (LCS) pada tahun 2007 bersama sembilan orang lagi ahli bahasa. Penerbit Game of Thrones iaitu HBO memberikan peluang kepada semua ahli LCS untuk cuba mencipta bahasa bagi kegunaan siri berkenaan berdasarkan isi kandungan novel asal tulisan George R.R. Martin.

David akhirnya terpilih untuk memperkembang tatabahasa sedia ada Valyrian.

3. Bahasa F

Ia mula dikenali ramai pada sekitar tahun 1990-an selepas filem Puteri Impian lakonan Amy Mastura ditayangkan kepada umum. Apa yang menarik ialah ia menggunakan bahasa Malaysia sebagai asas perbualan mereka tetapi hanya individu yang tertentu sahaja mampu memahami apa yang dibualkan.

Bahasa F ini merupakan kegemaran golongan remaja pada zaman dahulu kerana ia agak sukar untuk difahami. Walaupun begitu, orang sekeliling mungkin akan berasa kurang selesa sekiranya anda berbual menggunakan bahasa ini.

Antara ketiga-tiga bahasa tersenarai di atas, yang mana satu menjadi pilihan hati?

Sumber: