‘Ingus Laut’ Yang Melampau Di Turki Buat Para Penyelidik Bingung

Ingus Laut Melampau di Turki

Sudah beberapa bulan perairan di Istanbul, Turki telah diselaputi dengan sejenis lapisan lendir yang dipanggil ‘Sea Snot’ ataupun Ingus Laut.

Fenomena di Turki ini dikatakan merupakan sebuah krisis negara kerana ia menyekat kerang, menyumbat jaring dan memusnahkan industri perikanan.

Dikatakan, lendir itu kadang-kadang berwarna krim, atau khaki, terlihat menarik atau sangat menjijikkan bagi sesiapa yang melihatnya.

Jika dilihat dari sudut pandangan tinggi, ingus laut ini terlihat cantik seperti corak marmar yang kontras dengan warna biru air laut.

Sumber: Hürriyet Daily News

Namun, bila melihatnya dari dekat, ia digambarkan serupa seperti kahak atau ingus yang sangat banyak menyelaputi perairan itu. Penulis berharap tiada yang sedang makan ketika membaca artikel ini.

Sumber: The Atlantic

Ingus laut atau nama saintifiknya ‘marine mucilage’ didapati mempunyai ekosistemnya yang tersendiri, menurut sebuah kajian pada tahun 2009.

Kajian tersebut dijalankan oleh sekumpulan saintis yang diketuai Roberto Danovaro, seorang ahli biologi marin di Polytechnic University of Marche, Itali.

Roberto menggambarkan perkara ini sebagai tahap ‘gelatin’ salji laut, pengumpulan bahan organik seperti najis dan serpihan tumbuhan serta haiwan mati.

Sekumpulan penyelidik Turki memberi penjelasan di buletin UNESCO, bahawa ingus ini dihasilkan oleh sekumpulan mikroorganisma terutamanya mikroalga yang dikenali sebagai diatom.

Mikroalga ini terkenal dengan pengeluaran polysaccharide iaitu karbohidrat bergula yang boleh menyebabkan kelekitan. 

Terdahulu, saintis telah mengenal pasti spesies dinoflagellata dan lain-lain lagi dalam sampel yang diambil dari ingus laut yang terdapat di beberapa lokasi di Laut Marmara ini pada tahun 2007 dan 2008.

Seperti mukus di hidung kita, ingus laut juga ada bau yang tidak menyenangkan dan terasa berlendir jika dipegang.

Didapati lendir ini bukan saja mengganggu aktiviti berenang malah boleh mengancam kehidupan laut terutamanya batu karang.

Dari bulan Disember 2020 sehingga awal bulan Mac 2021, Barış Özalp, ahli biologi marin dari Universiti Çanakkale Onsekiz Mart, Turki telah menjalankan kajian mengenai kesan ingus laut terhadap terumbu karang di Dardanelles Strait.

Beliau mendapati bahawa terdapat mahluk yang diselaputi dengan ingus tersebut dan dilihat seperti diselubungi dengan sarang labah-labah.

Sumber: The Atlantic

Bahan ini juga didapati telah membunuh beberapa dahan batu karang kerana lapisan ingus yang tebal boleh menghalang bekalan oksigen batu karang tersebut.

Sebuah pasukan penyelidik lain juga telah berusaha untuk mengatasi kesan ingus laut terhadap kerang, ketam dan haiwan lain.

Malah, saintis juga mendapati lapisan melekit ini juga boleh memerangkap virus dan berpotensi mengangkutnya di sekitar ekosistem laut.

Ingus laut telah menyelubungi sebahagian daripada Laut Mediterranean untuk beberapa kali sejak akhir-akhir ini. 

Pada Mac 2007, kumpulan Roberto melaporkan bahawa ia telah menyelaputi lebih dari 2494km di persisiran Itali selama lima bulan.

Penyelidik mendakwa ia berlaku atas beberapa faktor, namun apa yang menyebabkan ia berkembang dan membiak masih lagi sebuah misteri.

“Kami sebenarnya tidak tahu bagaimana interaksi di antara kimia, biologi dan fizik boleh menyebabkan fenomena keterlauan ini.” tulis Uta Passow, seorang ahli oseanografi di Universiti Memorial Canada yang mengkaji salji laut.

Uta juga menambah bahawa bahan-bahan ini selalu berada dalam air tetapi apabila ia pergi dari sekecil-kecil mikroorganisma sehingga menjadi ketulan yang boleh dilihat dengan mata kasar, maka ada yang tidak kena.

Disamping itu, beliau juga berkata pemanasan dan kemasukan nutrien dapat menyebabkan sistem tidak seimbang mungkin adalah punca ia membiak.

Kenyataan itu disokong oleh kumpulan Roberto yang mendapati ingus laut berkembang dan bertahan lama apabila suhu air lebih tinggi daripada biasa. 

“Melihat kepada trend pemanasan di Laut Mediterranean, fenomena mucilage mungkin akan meningkat di masa hadapan,”

Michael Stachowitsch, ahli ekologi marin di Universiti Vienna mengatakan lendir sebanyak ini juga memerlukan keadaan cuaca yang spesifik iaitu panas dan tenang.

Tatkala musim bunga dan musim panas, matahari memanaskan lapisan paling atas air laut, membiarkan lapisan air yang sejuk dan tumpat di bawah.

kemasinan air juga memainkan peranan bagi kecerunan penumpatan di mana air termasin akan tenggelam di bawah air yang segar.

Disebabkan kecerunan ini, lendir tersebut akan tenggelam sehingga ia kembali terapung dan terampai. Semakin lama ia di satu tempat, semakin banyak ia terkumpul.

Justeru, jika tiada angin dan ribut, maka tiada faktor yang akan menyebabkan lendir-lendir ini bercerai.

Bakteri yang terperangkap di lendir ini kemudian akan mula memakan dan menghadamnya, lalu menghasilkan buih angin sehingga selapis ingus laut terapung di permukaan.

Sebenarnya, lendir di lautan bukanlah sesuatu yang luar biasa. “Lendir ada di mana-mana.” ujar Michael Stachowitsch.

“Tiada kehidupan marin yang tidak menghasilkan lendir, baik siput mahupun ikan. Namun, air yang sihat tidak menghasilkan lendir sehingga luar kawalan,” katanya lagi.

Di Laut Adriatik, timur laut semenanjung Itali, lendir yang terapung akan kering dan mengeras di bawah matahari sehingga burung camar boleh berjalan atasnya.

Laporan pertama mengenai mare sporco, atau laut kotor, di Itali bertarikh sejak 1729. Akan tetapi, sejak awal 2000-an, ingus laut telah keluar membiak hampir setiap tahun.

Oleh sebab itu, para saintis kumpulan Roberto pada 2009, mengaitkannya dengan perubahan iklim.

“Anda boleh menganggap ingus berkenaan sebagai satu simptom kepada ‘demam laut’,”

Kata Antonio Pusceddu, ahli ekologi marin di Universiti Cagliari, Italy.

Antonio Pusceddu juga merupakan salah seorang pengarang laporan 2009 tersebut yang berjudul Climate Change and the Potential Spreading of Marine Mucilage and Microbial Pathogens in the Mediterranean Sea.

Ketika ini, dilaporkan Menteri Alam Sekitar Turki Murat Kurum dan beberapa pegawai sedang mengenal pasti jika pencemaran dan sampah sarap adalah penyebab utama fenomena ini berlaku.  

Menteri berkenaan berkata ingus laut adalah sebuah masalah serius. 300 kumpulan telah dihantar untuk menilai beberapa lokasi di Laut Marmara.

Turki juga sedang menyedut ingus lautnya dengan menghantar pekerja untuk mengumpulkan lendir berkenaan dengan jumlah yang banyak untuk pembakaran.

Sumber: The Atlantic

Tahsin Ceylan, seorang pembuat filem yang sedang membuat dokumentasi mengenai kesan ingus laut berkata manusia adalah penyumbang utama bagi fenomena ini.

“Laut Marmara menjadi sebegini kerana perbuatan manusia. Ini adalah kesan daripada pembuangan sampah dari rumah dan pencemaran.

Satu-satunya cara untuk menghalang kejadian ini daripada berlaku ialah jangan buang sampah ke dalam laut.

Pendapat saya, alam semula jadi tidak berhak dilakukan seperti ini.” ujar Tahsin kepada Reuters.

Pakar hidrobiologi Levent Artuz memberi amaran bahawa masalah ekologi akan terus berlaku jika orang ramai tidak mengubah cara mereka.

“Selagi kita masih lagi mengamalkan cara lama yang menjejaskan alam sekitar, kita tidak boleh harapkan kesan yang berbeza.

Kita akan sentiasa berhadapan dengan bencana seperti ini.” katanya merujuk kepada pembuangan sampah ke dalam air yang semakin meningkat.

“Kejadian ingus melampau ini merupakan panggilan kecemasan daripada ekosistem laut,” kata Uta Passow.

Anda juga boleh baca artikel berkaitan laut seperti Ikan Jerung Terbesar Di Lautan, Ini Fakta Mengenai Megalodon, dan Monumen Batuan Bawah Laut Buatan Daripada Manusia Atau Bencana Alam?

Untuk baca artikel-artikel lain, anda boleh klik pada pautan di bawah: