Wabak Koronavirus baharu (COVID-19) tidak lain dan tidak bukan adalah suatu tragedi. Hampir 300,000 masyarakat dunia dilaporkan sudah dijangkiti dan jumlah kematian pula sudah melebihi 10,000.

Umum mengetahui bahawa beberapa negara seperti Britain dan Itali sudah menjalankan lockdown sebagai salah satu langkah untuk membendung penularan wabak ini.
Meskipun langkah ini diambil demi kebaikan masyarakat sejagat, tidak dinafikan terdapat beberapa impak negatif yang terhasil daripadanya. Bukan sahaja sektor ekonomi yang terjejas, malah, pembangunan sosial dan psikologi sesebuah masyarakat juga berisiko tinggi.

Secara asasnya, perintah lockdown yang berjalan adalah untuk mengurangkan kontak seseorang individu dengan yang lain.
Menurut kajian yang dilakukan oleh James House, Karl Landis dan Debra Umberson, individu yang berada dalam kurang bersosial atau berada dalam isolasi mempunyai tahap kesihatan fizikal dan psikologi yang kurang daripada manusia normal.

Menerusi satu artikel yang ditulis pada tahun 2017 oleh Julianne Holt-Lunstad, secara fizikal, mereka yang kekurangan hubungan sosial mempunyai risiko penyakit seperti obesiti, kurang daya imuniti, tekanan darah tinggi dan berkemungkinan sukar untuk menurut perintah.
Kajian lanjut juga mendedahkan bahawa mereka yang terisolasi berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan dan dementia.
John Cacioppo dan Louise Hawkley pula berkata, mereka yang terisolasi menunjukkan beberapa masalah mental seperti sukar untuk mengawal diri daripada tekanan, kurang tidur dan lambat untuk pulih daripada sebarang kecederaan.

“Kesunyian adalah masalah sosial yang mempunyai kesakitan sama seperti kecederaan fizikal, kebuluran dan dehidrasi,” lapor John Cacioppo dan Louise Hawkley lagi.
Selain itu, wabak COVID-19 ini juga menyebabkan masyarakat dunia berdepan dilema moral di mana mereka sering tertanya-tanya siapakah yang perlu dihindari atau sebaliknya.
Meskipun begitu, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan isu-isu yang dinyatakan di atas.

Menerusi artikel yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tanggal 6 Mac bertajuk Mental Health Considerations during COVID-19 Outbreak mencadangkan agar masyarakat yang kini sedang berada dalam isolasi untuk sentiasa berhubung dengan menggunakan emel, telefon atau media sosial.
Bagi sesetengah individu, idea ini mungkin menyebabkan masyarakat menjadi ketagih pada teknologi. Namun, terdapat satu kajian yang menyokong cadangan yang diutarakan WHO ini.
Menerusi kajian tersebut, purata pengguna media sosial mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain dan berkemungkinan tidak akan berasa terasing.
Apa-apa pun, lockdown yang dijalankan kerajaan ini bertujuan untuk melindungi masyarakat daripada wabak berbahaya.
Oleh itu, masyarakat haruslah memberi kerjasama terhadap usaha berkenaan agar penyakit ini dapat dibendung.