Kita semua tahu bahawa Humpty Dumpty ialah sebiji telur yang duduk di atas tembok tinggi lalu jatuh ke bawah sehingga seluruh badannya hancur berkecai dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Sedarkah anda tidak sekali pun lirik lagu ini menyebut atau memberitahu bahawa Humpty Dumpty ialah sebiji telur?
Jadi, ada beberapa teori dari ahli sejarah yang mengatakan bahawa Humpty Dumpty ialah sebuah bom dan bukan sebiji telur yang seperti kita semua bayangkan sejak kecil.
Teori terkenal ini mengaitkan watak Humpty Dumpty ini dengan bom yang digunakan ketika pengepungan sebuah bandar di Colchester, England pada tahun 1648.
Bandar ini dikatakan mempunyai sebuah istana dan beberapa gereja yang dikelilingi sebuah tembok pertahanan. Sebuah bom yang dinamakan sebagai Humpty Dumpty telah diletakkan di atas sebuah tembok untuk mempertahankan bandar tersebut dan dijaga oleh Jack Thompson.
Sebuah menara gereja akhirnya telah diserang oleh pihak musuh dan menyebabkan bom tersebut jatuh ke atas tanah sehingga jatuh berkecai dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Ada juga teori lain yang mengatakan bahawa Humpty Dumpty adalah karakter yang menggambarkan King Richard III yang telah mati dalam Pertempuran Bosworth pada tahun 1485.
Dalam teori ini, kuda King Richard III telah menjadi metafora kepada tembok dalam lirik tersebut apabila King Richard jatuh ketika peperangan tersebut berlangsung.
Kecelakaan King Richard III itu dikatakan terlalu parah sehingga para bala tenteranya yang lain tidak dapat menyelamatkannya.
Pada tahun 2012, tulang rangka King Richard III telah dijumpai di sebuah tempat letak kereta di Leicester dan menunjukkan bukti kecederaannya iaitu sebanyak 11 buah luka dan lapan daripadanya terletak di bahagian kepala.
Watak Humpty Dumpty kemudiannya ini telah banyak dimasukkan ke dalam cerita klasik bahasa Inggeris seperti Juvenile Amusement oleh Samuel Arnold dan juga Through The Looking Glass karya Lewis Carroll.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: