*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: The Clever
Setiap orang mempunyai perspektif berbeza terhadap sesuatu perkara yang mempengaruhi budaya sesebuah negara.
Kami kongsikan empat perkara yang dianggap pelik oleh masyarakat di seluruh dunia tetapi ia merupakan satu kebiasaan buat penduduk Korea Utara menerusi artikel ini:
1. Najis manusia baja pertanian

Sekiranya najis manusia di Malaysia dianggap sangat kotor dan hina, ia merupakan satu sumber bahan pertanian yang penting kepada agroteknologi dekat Korea Utara.
Korea Utara terpaksa menggunakan najis manusia sebagai alternatif kerana mereka kekurangan sumber bahan baja untuk pertanian. Selain itu, ia merupakan produk yang mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Korea Utara sendiri.
2. Ganja tidak haram di Korea Utara

Kanabis atau ganja ialah sejenis dadah yang selalu disalahgunakan oleh ramai orang. Ganja ini selalunya disalahgunakan untuk memberi si pengguna perasaan seronok.
Untuk pengetahuan anda, ganja turut digunakan dalam bidang perubatan. Hal ini demikian kerana ia boleh mengurangkan sakit dan perawatan paliatif bagi pesakit kanser tahap empat.
Walaupun kebanyakan negara menganggap ganja satu perkara yang salah di sisi undang-undang, ia tidak dikategorikan sebagai dadah dan halal bagi penduduk Korea Utara.
3. Saluran televisyen khas
Seperti yang anda sedia maklum, rakyat Korea Utara tidak mempunyai akses kepada maklumat dari dunia luar. Bukan sahaja mereka tidak boleh melayari internet sesuka hati kerana ia cuma boleh didapati di tempat-tempat tertentu, Korea Utara hanya mempunyai tiga saluran televisyen.
Namun, apa yang lebih teruk ialah dua saluran tersebut hanya ditayangkan pada hujung minggu. Atas sebab itu, penduduk-penduduk di negara berkenaan menyeludup masuk rancangan-rancangan dari Korea Selatan untuk tujuan hiburan.
4. Hukuman penjara tiga generasi
Sekiranya seseorang individu telah ditangkap kerana melakukan sesuatu kesalahan, pesalah tersebut sahaja yang akan menerima hukuman. Sekiranya disabitkan hukuman penjara seumur hidup, pesalah terbabit sahaja yang akan meringkuk di penjara sepanjang tempoh berkenaan.
Berbeza di Korea Utara, mereka mempunyai polisi hukuman penjara akan dikenakan kepada tiga generasi. Sekiranya disumbat ke dalam penjara, tiga keturunan individu tersebut termasuk anak dan cucu juga akan menghabiskan masa dalam lokap.
Pada pendapat anda, adakah perkara ini pelik ataupun sebaliknya?
Penulis:
- Siti Aminah Ahmad adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.