Hibrid Lembu Dan Kambing, Takin Haiwan Unik Di Pergunungan Himalaya

hibrid-lembu-dan-kambing-takin-haiwan-unik-di-pergunungan-himalaya

Kambing dan lembu sangat mudah dibezakan berdasarkan bentuk dan saiz fizikalnya. Namun, di kawasan pergunungan Himalaya terdapat satu spesies haiwan yang dianggap hibrid kedua haiwan ini. Dikenali sebagai “Takin”, haiwan ini hanya boleh ditemui di kawasan pergunungan Himalaya.

Kelihatan seperti seekor makhluk fantasi dari buku kanak-kanak. Haiwan ini memiliki tanduk antelope kambing terestrial berbulu. Selain itu, makhluk ini mempunyai muncung panjang yang bulat, badan tegap dan gagah, berkaki empat pendek serta kuku dua jari besar.

Tetapi, mungkin ciri fizikal takin paling menyerlah adalah ukuran badannya yang mengagumkan. Haiwan ini boleh mencapai berat hingga 770 paun dan panjangnya mencecah tujuh kaki. Walaupun ia adalah haiwan nasional Bhutan, anda tidak mungkin menemukannya dalam kartun, sebagai maskot sukan atau dalam video dokumentari yang popular.

Sumber: Wikipedia

Inspirasi kepada kisah-kisah mitos kuno

Walaupun habitatnya merangkumi banyak negara termasuk bahagian India, Bhutan dan Myanmar, kebanyakan pencinta haiwan dan pemerhati mamalia mendakwa haiwan ini lebih banyak ditemui di China.

Takin adalah mamalia keluarga Bovidae yang merangkumi kambing, lembu dan antelop. Ia juga berkongsi sebahagian wilayahnya dengan beruang panda. Walaupun menyerupai lembu kasturi (musk ox) atau bahkan kambing yang disilangkan dengan seekor kijang, genetik takin sebenarnya paling hampir sama dengan kambing liar.

Penampilan takin yang luar biasa menampilkan gabungan ciri-ciri dari keluarga bovidnya, termasuk berbulu tebal yang boleh berdiri dari warna coklat kemerahan hingga warna keemasan putih berkrim. Dalam sejarah, ia pernah digelar sebagai lembu berkulit emas kerana bulunya yang berkilat.

Bulu emasnya begitu menarik perhatian, malah ada yang percaya takin emas menjadi inspirasi kisah ‘Golden Fleece’ dalam mitologi Yunani kuno. Menurut mitos, pernah ada seekor haiwan berwarna keemasan dan bersayap yang dikenal sebagai Chrysomallos, yang merupakan anak dewa laut Poseidon.

Chrysomallos dikorbankan dan kulitnya dikumpulkan. Difahamkan, seorang pahlawan bernama Jason yang ditugaskan untuk mengambilnya bagi menuntut takhta kerajaannya. Sudah tentu tidak masuk akal bahawa khabar angin mengenai kulit emas bernilai dan indah, dapat berjalan sendirian dari Himalaya ke pantai Laut Hitam, tempat mitos ini berasal.

Adaptasi terhadap persekitaran yang ekstrim

Selain warna bulu luar biasa, takin mempunyai ciri-ciri lain yang memungkinnya untuk hidup di persekitaran pergunungan Himalaya. Salah satu ciri itu adalah bentuk hidungnya yang unik.

Hidung takin sebenarnya membantunya untuk mengekalkan kehangatan dalaman. Hidungnya mempunyai rongga sinus yang besar di mana udara dapat memanaskan badan sebelum memasuki paru-paru haiwan ini. Udara hangat ini sangat membantu memastikan segala yang ada di dalam badan takin tetap hangat dan selesa.

Satu lagi teknik penyesuaian takin yang agak unik adalah minyak dikeluarkan oleh keseluruhan badannya. Minyak yang mempunyai bau menyengat ini menghasilkan satu lapisan penyimpanan haba dan tahan air. Ia juga membolehkannya menanda wilayahnya dengan mudah dengan hanya mengelap pada pokok dan rumput berdekatan.

Takin biasanya dijumpai dalam kumpulan keluarga kecil yang terdiri daripada 20 ekor walaupun spesies tua lebih banyak hidup bersendirian. Pada musim panas, kawanan sehingga 300 ekor berkumpul boleh ditemui di lereng gunung. Kumpulan takin sering muncul dalam jumlah yang banyak apabila terdapat tempat makan yang baik, sumber garam atau sumber mata air panas.

Proses mengawan berlaku pada bulai Julai dan Ogos. Takin jantan dewasa akan bersaing untuk menjadi dominan dengan berlawan secara langsung dengan lawan dan kedua-dua jantina takin menggunakan aroma air kencing mereka sendiri untuk menunjukkan dominasi dan menarik perhatian pasangan.

Seekor takin biasanya dilahirkan selepas tempoh kehamilan sekitar lapan bulan. Ia berhijrah dari padang rumput di kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah, lebih berhutan pada musim sejuk dan menyukai tempat yang cerah ketika matahari terbit.

Apabila batuk dihasilkan sebagai tanda ancaman, seluruh kawanan takin akan berlari dan bersembunyi disebalik tumbuh-tumbuhan berdekatan biasanya di sebalik rimbunan buluh dan rumput tinggi lainnya. Takin adalah herbivora diurnal, yang bermaksud bahawa ia memakan banyak pada waktu subuh dan senja, seperti anggota keluarga Bovidae yang lain.

Takin makan pada awal pagi dan lewat petang dengan meragut pelbagai jenis daun, rumput, rebung dan bunga. Takin memakan pelbagai jenis tumbuhan daripada 65 spesies yang berbeza.

Mereka pernah dilihat berdiri di kaki belakang mereka untuk memakan daun setinggi 3.1 meter (10 kaki). Garam juga merupakan bahagian penting dalam diet mereka dan satu kumpulan takin mungkin tinggal di lokasi simpanan mineral selama beberapa hari untul menjilat garam ini.

Pengambilan garam dan mineral sangat penting untuk diet mereka. Oleh itu, ia mempengaruhi corak migrasi mereka kerana takin akan bergerak untuk mencari sumber garam. Mineral-mineral ini membolehkan mereka memecah sebarang toksik dalam sistem badan mereka dari pelbagai flora yang mereka makan.

Ancaman kepupusan

Ancaman terbesar bagi takin adalah manusia akibat kehilangan habitat dan pemburuan secara haram. Pemburu mencari takin untuk dijual sebagai daging eksotik dan juga tanduknya yang cantik dan warna kulitnya yang keemasan.

Namun, ancaman terbesar untuk mereka bertahan hidup adalah kehilangan habitat. Populasi mereka semakin berkurang dan empat subspesiesnya disenaraikan sebagai terancam mengikut pangkalan data International Union for Conservation.

China membuat langkah untuk memelihara bukan hanya takin tetapi juga banyak penduduk hutannya dengan menggazetkan hutan simpan yang diberi nama Laohegou Land Trust Reserve pada tahun 2013. Pemeliharaan kawasan seluas 27,325 hektar ini akan membantu memastikan bahawa haiwan-haiwan luar biasa dari hutan-hutan di Asia ini dilindungi.

Sumber: Youtube

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: