Harimau Malaya Di Pentas Olimpik Jerman, Ini Kisah Skuad Olimpik 1972

Sukan Olimpik Munich 1972 merupakan pentas tertinggi pasukan bola sepak tanah air pernah beraksi. Ia juga merupakan satu-satunya pentas Olimpik yang pernah menyaksikan aksi skuad Harimau Malaya.

Pada tahun 1972, skuad Harimau Malaya telah melayakkan diri untuk bertanding di pentas Olimpik Munich, Jerman setelah berjaya menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina. Malaysia hadir bersama Burma sebagai reputasi gergasi Asia pada waktu itu.

Skuad Harimau Malaya 1972. sumber: freemalaysiatoday

Skuad Harimau Malaya pada tahun 1972 itu merupakan antara skuad Harimau Malaya terhebat pernah dihimpunkan dalam sejarah bola sepak negara. Antara pemain yang terkenal ialah penjaga gol Chow Chee Keong yang mendapat jolokan “Asian Stainless Steel Gate”, Soh Chin Aun, Dell Akbar, M. Chandran, Namat Abdullah dan ramai lagi.

Cabutan undi mendapati skuad 1972 ini termasuk dalam kumpulan A, bertemu Jerman Barat, Amerika Syarikat, dan Maghribi. Dalam perlawanan pertama menentang Jerman, Malaysia tewas kepada gergasi Eropah tersebut dengan jaringan 3-0.

Aksi Malaysia menentang Jerman Barat. Foto: Retro Bola Sepak

Bangkit daripada kekalahan itu, Malaysia berjaya mengalahkan Amerika Syarikat dalam perlawanan berikutnya di Ingolstadt dengan jaringan 3-0 hasil jaringan Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusof.

Membawa misi wajib menang, Malaysia bertemu dengan Maghribi untuk menentukan kelayakan ke pusingan seterusnya. Namun impian negara terkulai apabila wakil benua Afrika itu menewaskan Malaysia dengan jaringan 6-0.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia berakhir di kedudukan ketiga dalam kumpulan A dengan hasil satu kemenangan. Pada Sukan Olimpik 1972 itu, juara untuk acara bola sepak jatuh kepada Poland.

Setelah bertahun berlalu, Olimpik 1972 di Munich, Jerman kekal sebagai satu-satunya pentas Olimpik yang Malaysia pernah beraksi. Pada tahun 1980, Malaysia sekali lagi berjaya menempah nama untuk bermain di Olimpik, namun sukan Olimpik tersebut dibatalkan ekoran kerajaan memboikot Sukan Olimpik Moscow.

Dahulunya merupakan sebuah pasukan yang digeruni dan termasuk sepuluh kumpulan teratas di Asia, kini Malaysia semakin sendu daripada menyentuh pentas berprestij dunia ini.

Namun begitu, penulis percaya yang pada masa akan datang dengan persiapan yang cukup dan semangat yang utuh, Malaysia dapat kembali ke pentas dunia. Dan mungkin suatu hari nanti hasrat rakyat untuk melihat Harimau Malaya kembali beraksi di pentas Olimpik bakal termakbul.

Apa-apapun, Malaysia Boleh!!

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: