Salah satu babak dalam filem Titanic (1997) yang paling meninggalkan kesan kepada para penonton ialah sepasang suami isteri warga emas yang secara senyap-senyap merebahkan diri mereka ke atas katil dan menunggu untuk menghembuskan nafas terakhir bersama apabila kapal yang dinaiki mula dimasuki air.
Meskipun babak ini kelihatan terlalu sinematik untuk menjadi kenyataan, ia sebenarnya berdasarkan kisah pasangan sebenar bernama Isidor dan Ida Straus.
Walaupun pasangan itu tidak meninggal dunia di atas katil, mereka juga tidak melarikan diri daripada kapal RMS Titanic apabila ia tenggelam dalam Lautan Atlantik pada 15 April 1912 sebaliknya memilih untuk menghabiskan detik-detik terakhir mereka di dunia ini bersama.
Kisah cinta Isidor dan Ida Straus

Sejak awal lagi, Isidor dan Ida ditakdirkan untuk bersama kerana pasangan itu berkongsi hari lahir yang sama (6 Februari), kedua-duanya berketurunan Yahudi dan berhijrah dari Jerman ke Amerika Syarikat pada awal kehidupan mereka.
Memetik laporan All That’s Interesting, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada tahun 1871. Isidor bekerja untuk perniagaan bapanya iaitu L. Straus & Sons di mana ia merupakan sebuah jenama tembikar yang kemudiannya disepadukan ke dalam satu jabatan di syarikat Macy’s.
Isidor bekerja keras sehingga dia akhirnya berjaya menjadi pemilik bersama semua rangkaian Macy’s. Ida pula merupakan seorang suri rumah dan pasangan itu mempunyai tujuh orang anak bersama.
Walaupun Isidor sibuk dengan kerjayanya ditambah pula dengan tugas-tugasnya sepanjang berkhidmat sebagai ahli Kongres Amerika Syarikat selama setahun, pasangan itu dikatakan sangat rapat.
Setiap kali Isidor melancong untuk urusan perniagaan, pasangan itu akan saling menulis surat untuk satu sama lain. Keutuhan cinta mereka sangat kuat dan kedua-duanya sangat benci untuk berpisah.
Sepupu Isidor iaitu Puan Samuel Bessinger pernah berkata, “Cinta mereka adalah cinta suami isteri yang sangat indah dalam kalangan pasangan tua yang telah mengharungi badai kehidupan bersama.”
Selepas berita tentang Titanic tersebar ke seluruh negara, Samuel nampaknya sudah mengetahui nasib pasangan itu.
“Mengetahui Puan Straus, kami yakin beliau akan memilih untuk berada di atas kapal itu daripada meninggalkan suaminya. Sekiranya Isidor tidak dibenarkan untuk menaiki salah satu perahu kecil, nescaya kedua-duanya pasti akan hilang,” ujarnya.
Jadual perjalanan tiba-tiba berubah

Pada asalnya, Isidor dan Ida tidak merancang untuk menaiki RMS Titanic dari Southampton di United Kingdom. Encyclopedia Titanica melaporkan pasangan itu tidak dijadualkan untuk berada di Eropah pada masa itu.
Pada tahun-tahun sebelumnya, pasangan itu selalunya akan bercuti di California Selatan bersama rakan kongsi perniagaan Isidor iaitu A. Abraham tetapi pemergian Abraham secara mengejut telah menyebabkan mereka memilih untuk melancong di Eropah.
Pasangan itu dijadualkan untuk pulang ke New York di Amerika Syarikat bersama pembantu rumah Inggeris baharu mereka iaitu Ellen Bird. Disebabkan mogok arang batu yang berlaku di England pada masa itu, kapal yang sepatutnya membawa mereka pulang terpaksa memberikan arang batunya kepada kapal lain.
Kapal baharu yang dinanti-nantikan oleh orang ramai ini sedang membuat pelayaran sulungnya dan ia mungkin satu perubahan rancangan yang menarik untuk menaiki kapal laut mewah yang bernama RMS Titanic.
Malam terakhir Ida di Titanic

Selepas pengungsian (evacuation) dilakukan pada malam 14 April 1912, Ida dan suaminya berdiri di dek Lifeboat 8. Kolonel Archibald Gracie IV iaitu salah seorang penumpang yang berkawan dengan Isidor cuba memujuk Ida untuk menaiki bot penyelamat.
Walaupun Ida hampir menaiki bot penyelamat itu, dia memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mahu mengikut suaminya. Apabila Isidor dapat tahu Archibald memberikan keutamaan tempat duduk kerana kekayaan dan statusnya, lelaki itu menolak dengan tegas kerana terdapat wanita dan kanak-kanak yang masih belum menaiki bot penyelamat tersebut.
“Saya tidak akan pergi sebelum orang lain,” ujar Isidor.
Ida kemudiannya berkata, “Kami telah hidup bersama selama bertahun-tahun. Ke mana awak pergi, saya akan ikut bersama.”
Pasangan itu memastikan pembantu rumah baharu mereka mendapat tempat di bot penyelamat dan Ida memberikan kot bulu mink panjang miliknya untuk memastikan badan Ellen suam. Ida beritahu Ellen bahawa dia tidak memerlukan kot itu lagi.
Sekali lagi, orang lain menawarkan tempat duduk kepada Ida. Mengetahui suaminya tidak akan menaiki bot penyelamat itu sehingga semua wanita dan kanak-kanak berjaya dipindahkan ke tempat lain yang lebih selamat, wanita tersebut terus menolak.
“Sepertimana kami telah hidup, begitu juga kami akan meninggal dunia iaitu bersama-sama,” janjinya.
Ida dan Isidor kali terakhir dilihat berpelukan dan duduk bersebelahan di kerusi dek apabila kapal laut mewah itu terus karam.
Legasi Ida dan Isidor Straus

Para penyelamat akhirnya menemui jasad Isidor yang dilihat masih memakai overcoat berlapik bulu. Mendiang dilihat menyimpan loket emas dan oniks yang mempunyai gambar anak-anak sulungnya di dalam poketnya.
Jasad Ida dan valet pasangan itu iaitu John Farthing bagaimanapun tidak ditemui sehingga ke hari ini. Taman Straus di Manhattan, Amerika Syarikat dinamakan sempena pasangan itu.
Tugu gangsa yang menghadap air di dalam taman itu juga didedikasikan untuk mereka. Model untuk tugu itu adalah Audrey Munson yang dianggap sebagai supermodel pertama Amerika Syarikat.
Ellen yang terselamat pada waktu itu terus menghubungi anak perempuan pasangan Straus iaitu Sara untuk memulangkan kot bulu mink Ida.
Sara mengucapkan terima kasih dan berkata, “Kot ini milik awak. Saya mahu awak simpan kot ini sebagai kenangan untuk ibu saya.”
Isidor disemadikan di Tanah Perkuburan Woodlawn di Bronx, New York dengan tugu peringatan yang berbunyi, “Banyak air tidak dapat menghilangkan perasaan cinta. Banjir juga tidak dapat menenggelamkannya.”
Sejarah tidak akan melupakan legasi cinta Ida dan Isidor yang tidak mengharapkan layanan istimewa kerana status kelas pertama mereka dan memilih untuk meninggal dunia bersama-sama daripada berpisah.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: