Hampir ‘Gila’ Kerana Mahu Tebus Kebebasan, Ini Kisah Nasubi

Ditayangkan dari tahun 1998 sehingga 2002, apa yang penerbit rancangan realiti Susunu! Denpa Shōnen rancang dan buat terhadap pelawak Nasubi atau nama sebenarnya Tomoaki Hamatsu adalah sesuatu yang tidak mungkin diterbitkan lagi oleh mana-mana penyiar pada masa ini.

Dengan hanya timbunan majalah menemani Nasubi, pelawak itu dipaksa tinggal bersendirian di sebuah bilik kosong yang sangat terpencil tanpa seurat benang, makanan dan alat komunikasi untuk berhubung dengan dunia luar.

Untuk keluar dari bilik tersebut, Nasubi perlu memenangi pertandingan atau kuiz yang ada dalam setiap majalah diberikan kepadanya dan perlu mengumpul hadiah dengan nilai ¥1 juta (RM32,245).

Nasubi menyertai rancangan realiti itu sebagai peserta

Sumber: I Am the Eggplant

Kisah Nasubi bermula apabila dia terpilih sebagai ‘pemenang’ dalam satu siri pemilihan dan terus dipaksa untuk menyertai rancangan realiti itu tanpa mengetahui apa yang akan berlaku.

Walaupun mendakwa rancangan tersebut mungkin tidak akan disiarkan di televisyen, penerbit Susunu! Denpa Shōnen rupa-rupanya menipu malah meyakinkan Nasubi untuk menganggap dia merakam sendiri pengalaman sehariannya untuk semakan lanjut sebaliknya ia adalah untuk tatapan dan ejekan orang ramai.

Memetik laporan MovieWeb, Nasubi tidak ditinggalkan dengan apa-apa makanan sebaliknya perlu bergantung hidup kepada semua hadiah yang dimenangi daripada menyelesaikan pertandingan dalam setiap majalah.

Sepanjang 15 bulan rancangan itu disiarkan di televisyen, Nasubi hanya menganggap bahawa dia sedang dirakam dan kehidupan sehariannya perlu disunting dan akan disiarkan pada masa hadapan.

Apa yang Nasubi tidak tahu adalah kehidupan sehariannya sebenarnya disiarkan secara langsung dan ia turut ditambah beberapa kesan bunyi yang mencemuh dan mengejek lelaki itu ketika dia menangis, menjerit dan naik gila. Selepas 335 hari, dia berjaya mencapai matlamatnya untuk mengumpul nilai hadiah ¥1 juta.

Dipindahkan ke Korea Selatan selepas menang

Selepas mencapai matlamatnya, mata Nasubi tiba-tiba ditutup dan dipindahkan ke Korea Selatan di mana dia perlu mengumpul jumlah yang cukup untuk membeli tiket penerbangan supaya dapat pulang semula ke Jepun.

Disebabkan sudah berpengalaman, Nasubi dapat memenangi jumlah yang cukup supaya dapat pulang semula ke Jepun dengan sangat pantas iaitu dalam masa beberapa minggu sahaja.

Pihak penerbit pula tidak suka dengan kepantasan Nasubi menyelesaikan tugasannya. Mereka kemudiannya mengubah peraturan permainan supaya lelaki itu perlu memenangi jumlah yang cukup untuk dapat pulang ke Jepun menaiki tiket penerbangan kelas pertama.

Walaupun hidupnya disukarkan oleh penerbit, Nasubi berjaya juga mengumpul nilai hadiah yang cukup untuk kembali ke Jepun. Ketika ini, Nasubi diberitahu akan perlu berpindah ke lokasi baharu.

Sumber: Style Koriyama

Lokasi yang dirasakan ‘tempat tinggal baharu’ itu sebenarnya adalah rumah yang dibina khas di sebuah studio. Saat kebebasan Nasubi adalah apabila pelawak itu menerima tepukan gemuruh daripada para penonton di dalam studio apabila dinding rumah itu tiba-tiba ‘runtuh’.

Ternyata blur dengan apa yang terjadi, Nasubi tidak sedar bahawa rancangan realiti itu sebenarnya telah ditayangkan di televisyen selama 15 bulan.

Untuk pengetahuan anda, kerajaan Jepun telah mengharamkan penyiaran mana-mana siri televisyen berkonsepkan Susunu! Denpa Shonen kerana ia dianggap menyeksa dan mendera emosi peserta.

Sekiranya anda berada di tempat Nasubi, dapatkah anda bertahan walaupun untuk sebulan?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: