GENERASI PASCA DEB (1960-1975)

Generasi ini dilahirkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Generasi ini adalah generasi pertama yang membesar dengan TV berwarna. Peningkatan eksport elektronik ke luar negara juga menjadikan ekonomi negara pada ketika ini semakin makmur.
Penemuan minyak di pesisir pantai Terengganu, Sabah dan Sarawak serta pengasasan syarikat Petronas pada tahun 1974, serta penubuhan Proton pada tahun 1982 juga menjadikan golongan ini antara golongan yang pertama membesar dengan “satu keluarga satu kereta“.
Kekayaan dan kepesatan ekonomi negara yang meningkat pada tahun 1970an dan 1980an juga menyaksikan golongan dari Generasi Merdeka dan Generasi 13 Mei mula menjadi kelompok kelas pertengahan di bandar-bandar utama di negara ini.
Generasi Pasca DEB menyaksikan peristiwa seperti kes pecah amanah Bank Bumiputera 1982, Memali dan drama pengharaman UMNO dan krisis kehakiman pada lewat 80an, menyebabkan ada dari kalangan mereka yang skeptik dan sinikal dengan kerajaan.
Filem seperti Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan adalah salah satu dari rakaman dari zeitgeist zaman tersebut.
Generasi ini menyaksikan muzik punk dan hiphop mula masuk mempengaruhi mereka terutamanya di peringkat bandar, serta muzik rock kapak yang popular pada ketika itu. Rambut panjang dari penyanyi rock dilihat sebagai simbol pemberontakan dan anti establishment serta menentang segala nilai estetika dari kerajaan seperti budaya batik, Belia 4B dan rambut pendek.
GENERASI REFORMASI (1975-1986)

Generasi ini membesar dengan berdepan dengan Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997, yang menyaksikan ramai ayah-ayah mereka dari Generasi Merdeka dan Generasi 13 Mei kehilangan kerja.
Seperti abang-abang dan kakak-kakak mereka dari Generasi Pasca-DEB yang memberontak, pemberontakan generasi ini dibangkitkan dengan satu peristiwa yang menggemparkan negara: pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Generasi ini seperti abang-abang dan kakak-kakak mereka juga, membesar dengan muzik dan subculture melawan seperti punk, skinhead, grunge dan hiphop – melihat abang-abang dan kakak-kakak mereka dari Generasi Pasca DEB di jalan raya penuh minat, dan terpengaruh dengan Reformasi. Seterusnya berarak di jalan raya sepuluh tahun kemudian dalam perhimpunan Bersih.
Mereka membesar di zaman pop muzik Melayu yang terbaik sejak P.Ramlee. Artis seperti Awie, Ziana Zain, Amy Mastura, Raihan, dan Siti Nurhaliza – serta letusan budaya muzik alternatif seperti Butterfingers, OAG, Poetic Ammo dan Too Phat.
GENERASI KAMI (1986-1997)

Mereka adalah generasi yang membesar di era Islam Hadhari pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, yang menyaksikan pencapaian yang masih boleh dikenang pada eranya ialah apabila Malaysia berjaya menghantar Angkasawan pertama ke ISS iaitu Dr Sheikh Muzaphar.
Mereka membesar pada era tsunami politik 2008, era blog dan Internet semakin mempengaruhi hidup mereka. Mereka mungkin lebih ramai mengenali kawan di Friendster dan Myspace daripada berkenalan dengan kawan-kawan di sekolah.
Generasi ini meneruskan kesinambungan dari muzik alternatif dari Generasi Reformasi dan kali ini digerakkan dalam bentuk digital, menerusi dari Myspace Music, munculnya band-band baru seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Grey Sky Morning dan Muck.
Generasi ini juga adalah mereka yang mula membaca buku-buku indie semasa mereka di peringkat universiti ketika melawat event Layar Tanchap dan Frinjan.
Mereka membesar dengan pop culture yang mulai ditepukan dengan filem dan drama cinta anak orang kaya di televisyen, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada alternatif lain.
Drama Dunia Baru pada tahun 2006, Gol Dan Gincu pada 2007 dan Kami pada tahun 2007 mewarnai dunia remaja mereka.
GENERASI MALAYSIA BARU (1997-2005)

Generasi ini adalah golongan remaja pada hari ini. Mereka membesar dengan pergolakan politik tidak henti-henti sejak tsunami politik 2008, zaman pentadbiran Najib Razak (2009-2018) serta menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, bertukar kerajaan dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.
Mereka mempunyai kawan di media sosial lebih ramai daripada mereka berkawan di sekolah, dan populariti diukur melalui jumlah ‘likes’ di Instagram.
Narkisis, superficial dan anti-sosial, mereka lebih gemar berbual di video pada telefon pintar daripada berbual berdepan.
Pun begitu mereka lebih cepat menerima informasi dari mana-mana generasi sebelum ini, multi-tasking dan lebih berkeyakinan dan bertrampilan, walaupun ramai daripada mereka berdepan dengan krisis kesihatan mental (mental health) yang kronik.
Buat pertama kali sejak Generasi 13 Mei, televisyen tidak lagi menjadi pengaruh utama, bermula dengan generasi ini. Generasi ini lebih selesa untuk mendengar lagu pada streaming seperti Spotify atau Joox, lebih menonton Youtube daripada televisyen, dan lebih banyak meluahkan perasaan di Insta Stories daripada di diari. Mereka adalah generasi yang tidak boleh berpisah dengan digital.
Jadi ini adalah tulisan analisis tentang generasi di Malaysia dari saya. Dan untuk generasi selepas ini, apa nama yang sesuai? Mungkin Generasi Upin Ipin, atau Generasi Baby Shark? Atau untuk menunggu mereka dewasa untuk nama yang lebih sesuai?
Analisis tentang generasi mungkin tepat dalam konteks Malaysiana dalam artikel ini, dan diharapkan kita lebih mengenali generasi kita (dan generasi-generasi lain).