Sebelum kertas dan dakwat dicipta, manusia menulis di atas batu atau tanah liat dengan mengukir. Pada masa itu, manusia perlu teliti dalam menulis, jika tidak, sukar untuk padam tulisan tersebut di atas batu.

Para ilmuwan pada zaman Sumeria atau Mesir yang menggunakan tulisan cuneiform atau hirograf adalah suara yang tidak boleh disangkal. Kerana pada masa itu, tulisan adalah sesuatu yang eksklusif dan siapa yang tahu menulis dan membaca, makanya dia datang dari golongan elit.
Apabila kertas dicipta oleh Cai Lun, seorang sida semasa Dinasti Han pada tahun 105, tulisan menjadi lebih ringan dan senang dibawa berbanding jika ia ditulis atas batu. Kertas lebih tahan lama jika dibandingkan jika ia ditulis di atas kulit binatang atau di atas dedaun.
Dengan penciptaan kertas, tulisan mudah disebarkan, tetapi ilmu menulis itu masih dipegang oleh kelompok elit, iaitu para cendikiawan atau mereka yang bekerja dengan Maharaja.

Teknologi mencetak bermula di China pada 1050, melalui penciptaan blok-blok huruf, tetapi mesin pencetak yang dicipta oleh Johannes Gutenberg pada 1440an, menyebabkan pendapat dan pandangan yang selama ini dikuasai oleh kelompok elit, kini dibebaskan oleh penciptaan mesin ini.
Kerana penciptaan mesin inilah, pelbagai pandangan dan pendapat bertembung dan mencetuskan Rennaisance – yang bermula dari Florence, Itali, yang kemudiannya merebak ke seluruh Eropah, dengan membebaskan rakyat jelata daripada dogma yang dikuasai golongan elit yang mampu menulis.
Mesin cetak terus memainkan peranan dalam penyebaran maklumat dalam sejarah manusia sehinggalah penciptaan telegraf pada 1792, penciptaan mesin Kod Morse pada 1836, telefon pada 1876 dan penciptaan radio pada 1895.
Semenjak itu maklumat menjadi semakin demokratik dan semakin terpisah dari kelompok intelektual elit, terutamanya dari golongan cendikiawan yang bersarang di menara gading.

Televisyen dicipta pada 1927, menjadi popular selepas tamatnya P3rang Dunia Kedua, terutamanya sekitar tahun 1950an ketika ekonomi dunia makmur pasca perang.
Dari situlah penyebaran maklumat mula berubah, namun ia masih dikawal oleh pemilik stesen televisyen, dan siapa yang memiliki stesen televisyen, dialah yang menguasai maklumat.
Sehinggalah pada 1985 apabila Presiden Ronald Reagan membenarkan Internet digunakan oleh rakyat jelata. Internet diwujudkan sekitar 1940an, hasil dari teknologi Enigma Code yang dibangunkan untuk men3mbak kapal selam milik N4zi Jerman.
Ia digunakan bagi tujuan maklumat rahsia dalam Projek Manhattan yang mencipta bom atom, dan seterusnya menjadi milik t3ntera sehinggalah Reagan membenarkannya digunakan oleh orang awam.

Tetapi letusan Internet ini bermula pada 1990an apabila Presiden Bill Clinton memberi jaminan bahawa Internet tidak akan dikawal oleh pihak kerajaan, dan semenjak itu, maklumat tidak lagi dikawal oleh golongan intelektual, atau pemilik akhbar, atau pemilik stesen televisyen.
Maklumat dikawal oleh masyarakat kerana segalanya di hujung jari.
Semenjak 1990an, wujud golongan yang bersarang dalam laman web Geocities menulis teori mereka walaupun kedengaran mengarut.
Mereka menulis tentang kewujudan Bigfoot, atau penampakan makhluk asing (jika anda membesar dalam tahun 1990an, genre cerita makhluk asing sangat popular terutamanya dalam drama bersiri X-Files).
Menjelang 2000an, terutamanya selepas s3rangan 11 September 2001, bermacam-macam teori konspirasi diwujudkan berdasarkan pemerhatian orang yang menulis dalam laman web ini. Ia kemudian bertukar menjadi blog, yang muncul seperti Kibo, Livejournal dan Blogspot.
Dari sinilah maklumat mula bercelaru dan kebenaran tidak dapat dikawal oleh kelompok intelektual elit yang bersarang di menara gading, yang menguasai “kebenaran” melalui autoriti mereka sebelum Gutenberg mencipta mesin pencetak lagi.
Universiti telah wujud sebagai autoriti kebenaran, dan sejak berlaku lambakan pelajar universiti serta pembebasan maklumat dalam internet, serta semakin ramai melihat universiti sebagai beban kerana hutang pelajar yang tidak tertanggung, wujudlah masyarakat yang menolak autoriti universiti ini.

Golongan ini dalam kolokial Internet, dipanggil sebagai “palatao”.
Palatao, berasal dari perkataan “kepala tahu”, ialah slanga yang datang dari loghat Utara yang bermaksud “buat kepala sendiri”, atau berpura-pura tahu.
Palatao ini dilihat sebagai negatif, terutamanya mereka yang masih melihat ilmu pengetahuan harus keluar dari mulut ahli akademik yang bersarang di menara gading.
Universiti sebenarnya sudah hilang pengaruhnya sejak bermulanya zaman pasca moden, apabila peralihan ekonomi berasaskan perindustrian berubah kepada sektor perkhidmatan sekitar 1980an.
Universiti kini dilihat sebagai menghasilkan “pekerja” dan bukannya “pemikir”, sedangkan fungsi sebenar universiti sejak sebelum mesin pencetak Gutenberg dicipta ialah, untuk menghasilkan golongan pemikir.
Tetapi universiti pada era pasca moden ini lebih kepada mewujudkan golongan pekerja yang hanya mengikut silibus yang diajar kerana menanggung beban hutang yang perlu dibayar semasa zaman pembelajaran.
Ramai yang melihat universiti bukan sahaja sudah hilang fungsinya, bahkan hanya menjadi mesin menghasilkan robot yang bekerja untuk sistem.
Dan kewujudan golongan palataologist ini adalah kesan akibat penolakan orang ramai yang mula sangsi dengan universiti kerana maklumat yang semakin banyak dan bertembung antara satu sama lain.

Perdebatan di ruang komen Facebook, atau di reply Twitter, atau di komen Youtube yang semakin sengit oleh pelbagai pendapat, disamping wujudnya golongan troll yang mahu mengganggu segala yang ada dalam ruang maya ini.
Ini mengakibatkan Internet sentiasa muncul dengan pelbagai jenis idea dan golongan yang bijak memanipvlasikan algoritma Internet, akan berjaya dalam dunia penyebaran maklumat kali ini.
Situasi ini dipanggil sebagai post-truth, atau pasca-fakta. Perkataan pasca-fakta ini banyak digunakan oleh media perdana untuk menafikan pendapat golongan yang menentang establishment, terutamanya dalam media, intelektual dan golongan elit.
Mereka ini sering bergerak dalam massa populis seperti Brexit, penyokong Trump dan kalau di Malaysia, fenomena Bossku yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Dan maklumat ini, sama ada benar atau tidak, tidak lagi dipedulikan asalkan ia menepati golongan sasaran, iaitu penyokong idea tersebut.
Mereka yang selama ini gatekeeping (mengawal) maklumat, baik dari golongan intelektual, ke golongan elit yang menguasai syarikat akhbar atau syarikat stesen televisyen tidak lagi mampu mengawalnya lagi, sebaliknya pengawalan ini dilakukan oleh orang yang mampu mengawal algoritma Internet.
Penghebahan maklumat tidak lagi memerlukan akses golongan establishment sebaliknya seorang suri rumah dengan tiga orang anak pun mampu menulis sesuatu di rumah sambil mendodoi anak, dan bila ia tular, ia akan menjadi sebutan ramai orang.
Hasilnya wujudlah pertembungan maklumat yang besar dan berlakunya Balkanisasi (perpecahan) dalam dominasi maklumat itu sendiri.
Dan ini sejajar dengan era pasca moden dimana ia menolak fahaman modeniti yang one-size-fits-for-all dan didominasi oleh satu pihak yang berkuasa.
Era ini menekankan identiti berbanding fakta itu sendiri. Fakta itu sendiri boleh dipiuhkan maklumatnya berdasarkan bagaimana ia mahu digambarkan, berdasarkan kelompok yang mana mahu disampaikan.
Akibatnya, abad ke-21 akan menyaksikan kecelaruan maklumat dan pertembungan maklumat yang banyak di dalam internet dan mencetuskan variasi idea yang baru setiap kali pertembungan akan berlaku.
Malangnya, golongan yang cuba mengawal maklumat ini menggunakan pelbagai cara seperti demonetized, factchecking berdasarkan pendirian mereka tanpa ruang bahas, serta menutup laman-laman web dan akaun media sosial yang menentang suara mereka.
Dan ini yang sedang dilakukan oleh media liberal yang terus cuba menentang kebangkitan suara ini. Kebenaran tidak lagi dikawal oleh satu pihak, dan ini hakikat. Inilah zaman pasca-fakta, bila fakta boleh dibahas dan kebenaran boleh berubah berdasarkan siapa yang menerimanya.
Kewujudan golongan anti-vaksin, bumi leper dan pengarang teori konspirasi ini wujud akibat perasaan skeptikal terhadap kepercayaan orang ramai terhadap autoriti universiti.
Universiti tidak lagi dilihat sebagai pemegang kebenaran, tetapi seperti “m4cai yang menjaga sistem”. Dan sebenarnya, dalam pihak intelektual elit terus menuduh mereka sebagai golongan palatao, mereka pun sebenarnya palatao juga.
Golongan elit dan establishment yang semakin terpisah dengan realiti sebenar masyarakat semakin terus berlaku. Menteri yang bercakap seperti dari planet lain, dan tidak memahami situasi yang dihadapi oleh rakyat terbanyak, menyebabkan rakyat melihat mereka pula sebagai golongan palatao.
Pihak universiti kini tidak lagi dipercayai, media massa yang dikuasai oleh establishment mula ditolak dan kerajaan dilihat sebagai institusi yang tidak boleh diharapkan.

Dalam buku tulisan Douglas Murray berjudul “The Madness of Crowd”, beliau menegaskan bahawa kelompok elit ini bersarang dalam media massa dan terus cuba menafikan suara orang ramai kononnya suara mereka paling benar.
Tetapi mereka harus ingat, pada zaman pasca moden ini, tidak ada siapa yang memegang kebenaran secara mutlak – kerana tulisan, tidak lagi ditulis atas batu, oleh golongan elit yang pandai menulis.
Orang ramai bukan golongan petani yang buta huruf dan hanya mendengar “kebenaran” dari tulisan batu sang pendeta, tetapi golongan yang mendapat pelbagai maklumat di dalam Internet.
Hingga satu saat apabila Internet dilihat sebagai kuno seperti kita melihat Kod Morse pada hari ini, keadaan ini akan berterusan berlaku. Perkembangan teknologi maklumat yang semakin meluas ini akan mencetuskan jurang antara pelbagai pihak sehingga mencetuskan P3rang Maklumat.
Mungkin inilah yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w sebagai ‘fitnah akhir zaman’.
Untuk tulisan yang berkaitan, boleh baca di pautan ini: