Bagi orang yang beragama Islam, kita sudah diajar untuk menghormati mereka yang telah pergi dengan berhati-hati sewaktu mengendalikan jenazah.
Namun sebaliknya berlaku di dalam kalangan penduduk Madagascar. Masyarakat di sini mempunyai satu budaya pelik yang telah wujud sejak abad ke-17.
Budaya itu adalah menari bersama mayat atau nama rasminya Famadihana.
Famadihana ini merupakan satu upacara untuk memperingati mereka yang sudah tiada dan tujuan ia dilakukan adalah untuk mewujudkan rasa cinta dan ingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Masyarakat di negara kepulauan Hindi itu menganggap pemergian seseorang itu sebagai perkara yang perlu diraikan dan bukannya untuk bersedih.
Madagascar merupakan sebuah pulau keempat yang terbesar di dunia. Walaupun pulau ini terletak berhampiran dengan Afrika, masyarakat di sana mempunyai budaya, adat dan kehidupan yang berbeza.
Upacara ini dikatakan hanya akan dilakukan antara bulan Jun dan September setiap 7 tahun sekali, oleh orang-orang daripada suku kaum Malagasi.
Ahli keluarga dan sanak saudara akan berkumpul menjelang upacara Famadihana ini. Upacara ini memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul memperingati kenangan bersama dengan individu yang sudah tiada.
Apabila semua ahli keluarga telah berkumpul, setiap kubur ahli keluarga akan digali dan bungkusan berisi mayat itu akan diambil keluar dari lubang kubur tersebut.

Mereka kemudian akan bersorak gembira sambil mengangkat mayat di atas kepala mereka.
Hal ini kerana, berdasarkan kepercayaan suku kaum Malagasi, orang yang telah meninggal dunia dipercayai tidak pergi sepenuhnya kerana semangat dan roh mereka dikatakan masih mampu untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga yang masih hidup.
Mayat yang telah dibawa keluar itu kemudian akan digantikan dengan persalinan yang baru menggunakan kain sutera yang disiram dengan air anggur dan minyak wangi.
Mereka kemudian akan membawa mayat tersebut mengelilingi kampung sambil bersorak gembira. Bagaikan sebuah pesta, ia ditemani dengan muzik bersama dengan seluruh ahli keluarga dan penduduk mula menari bersama mayat.

Ahli keluarga dan kenalan akan mengenang kembali memori mereka bersama mayat tersebut dan memberitahu setiap khabar berita kepadanya.
Akhirnya setelah mereka melepaskan rindu, mayat tersebut akan ditanam semula di kubur masing-masing bersama iringan muzik sehingga terbenamnya matahari.

Setelah selesai segala proses pengebumian, maka upacara itu dianggap sudah tamat dan mereka perlu menunggu selama 7 tahun lagi untuk meraikannya.
Semestinya budaya ini menarik namun ia juga boleh mendedahkan orang ramai kepada banyak penyakit kerana memegang mayat yang sudah lama ditanam.
Sumber: Iluminasi