Hari ini menandakan genap 14 hari kerajaan kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan fasa kedua bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan melibatkan kawalan pergerakan yang lebih ketat.
Mana tidaknya, pihak berkuasa sudah berbuih mulut untuk menasihati rakyat supaya duduk di rumah. Terdapat beberapa individu yang telah didakwa di mahkamah kerana ingkar dengan arahan PKP namun masih ramai lagi yang memilih untuk bersikap keras kepala.
Untuk dijadikan cerita, bilangan kes positif COVID-19 yang tinggi turut menyebabkan kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengetatkan lagi peraturan menjelang fasa kedua PKP yang akan berlangsung sehingga 14 April.
Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan zon merah yang mempunyai bilangan kes positif yang tinggi.
Selain itu, semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian seperti pasar raya dan stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari lapan pagi hingga lapan malam.
Tidak berhenti di situ, gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan perlu beroperasi pada waktu yang sama sepanjang fasa kedua PKP ini.
Waktu operasi bagi pengangkutan awam pula kekal dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam setiap hari. Teksi dan e-hailing pula dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam. Peraturan seorang dalam setiap kenderaan persendirian masih dikekalkan dalam fasa kedua PKP.
Hari esok bermula Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua di mana jika dulu terdapat banyak kelonggaran dan pengecualian untuk Fasa Satu, maka dengan memperkenalkan Standard Operating Procedure (SOP) yang baharu, ianya akan lebih diperketatkan. https://t.co/z46UW8vLDP pic.twitter.com/GhJhF5y3ut
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) March 31, 2020
Walaupun kerajaan lebih tegas dalam menghadapi fasa kedua PKP, semua ini terpaksa dilakukan untuk membendung ledakan gelombang ketiga COVID-19.
Berbalik kepada persoalan asal yang dibangkitkan dalam artikel ini iaitu sikap rakyat sebagai penentu tempoh fasa kedua PKP, penulis menganggap itu merupakan satu tindakan yang wajar.
Sekiranya rakyat patuhi arahan kerajaan sepanjang dua minggu ini, semuanya akan berjalan dengan lancar. Dalam erti kata lain, kita hanya perlu stay at home sehingga 14 April sahaja.
Apa pula yang akan berlaku sekiranya rakyat masih pentingkan diri sendiri? Kerajaan juga tidak mempunyai pilihan lain selain memanjangkan tempoh PKP. Adakah itu satu perkara yang baik? Sudah tentu tidak.
Rakyat cuma perlu beri kerjasama untuk dua minggu ini sahaja dengan tidak pentingkan diri sendiri. Sekiranya anda merupakan seorang rakyat yang bertanggungjawab, buatlah pilihan tepat dengan duduk di rumah. Jogging itu boleh tunggu tetapi nyawa kita pula adalah sebaliknya. Setiap saat itu berharga.
Pada pendapat penulis, kerajaan perlu bertegas sekiranya itu merupakan satu-satunya cara untuk membendung penularan COVID-19 ke tahap yang lebih membimbangkan. Semoga Tuhan lindungi Malaysia.