El Clasico, Pertembungan Berprestij Real Madrid dan Barcelona

Jam 3:00 pagi ini, pertembungan dua gergasi La Liga Sepanyol antara Real Madrid dan Barcelona, akan berlangsung di Nou Camp. Pertembungan epik ini dikenali dunia sebagai “El Clasico“.

Pertembungan ini diberi perhatian yang hangat kerana perseteruan antara dua kelab ini sudah berlanjutan sejak 1902 lagi. Selain itu, dua kelab ini mempunyai ramai bintang-bintang ternama yang bertembung dalam perlawanan ini, dan dikatakan antara perlawanan yang menjadi tumpuan dunia dalam bolasepak Sepanyol.

FC Barcelona ditubuhkan pada tahun 1899, sementara Real Madrid ditubuhkan pada tahun 1902.

Pertembungan perlawanan ini bukan sekadar permusuhan antara dua kelab bolasepak, tetapi ia melibatkan identiti, budaya dan nasionalisme antara Castilia (yang mewakili budaya Sepanyol hari ini) dan Catalan.

Menurut wartawan sukan, Phil Ball, yang menulis tentang buku sejarah bolasepak Sepanyol berjudul Morbo: The Story of Spanish Football, berkata “permusuhan antara kedua penyokong kelab ini begitu mendalam sehingga mengejutkan orang luar.”

Permusuhan ini dikaitkan dengan pensejarahan dan politik, terutamanya di era Perang Saudara Sepanyol sekitar 1930an, tetapi permusuhan era moden pula ialah persaingan mencari prestij, dan pemenang perlawanan ini akan dianggap pemenang terulung dalam tahun tersebut.

Catalan, sebuah wilayah yang mahu menjarakkan diri dengan “pemusatan kuasa Madrid”, menggunakan FC Barcelona untuk tujuan menunjukkan pengaruhnya, sementara Real Madrid pula dilihat sebagai simbol “ketuanan Castilia” dalam negara Sepanyol.

Pun begitu perlawanan pertama antara dua pasukan ini berlangsung dalam kejohanan Copa de la Conoracion, kejohanan yang dianjurkan bersempena permahkotaan Raja Alfonso XIII.

FC Barcelona sebagai pasukan yang ditubuhkan tiga tahun lebih awal menewaskan pasukan yang pada ketika itu dikenali sebagai Madrid CF dengan keputusan 3-1.

Selepas Perang Saudara Sepanyol berakhir pada 1939, Sepanyol ditadbir oleh Francisco Franco, jeneral Sepanyol yang mengembalikan orde di Sepanyol selepas huru-hara negara tersebut di era Republik.

Disebabkan Francisco Franco ini dikatakan peminat Real Madrid, ramai musuhnya menyokong sama ada FC Barcelona jika di luar wilayah Madrid, atau Atletico Madrid, yang lebih mewakili golongan kelas pekerja.

Jika kita bercakap tentang spektrum politik juga, dua pasukan bolasepak ini juga bercanggah, sementara mereka yang condong ke sayap kiri akan menyokong FC Barcelona, yang konservatif akan menyokong Real Madrid.

Pertembungan dua kelab ini bertambah hangat lagi apabila melibatkan jaguh bolasepak dari Argentina, Alfredo Di Stefano, yang merupakan pemain bolasepak yang bertaraf dunia sekitar 1950an. Stefano merupakan pemain dari kelab Colombia, Millionairos dan bersedia untuk ke Eropah.

FC Barcelona dan Real Madrid bersaing untuk mendapatkan pemain ini sehinggakan campurtangan wakil FIFA dengan mengatakan dua kelab ini mendapatkan khidmat Stefano secara bergilir-gilir.

Namun pada akhirnya Stefano membuat keputusan untuk bersama Real Madrid, dengan menjadi pemain paling berharga, disamping membawa pasukan Real Madrid menjadi juara Eropah lima kali berturut-turut iaitu tahun 1956 hingga 1960.

Perpindahan Luis Figo dari FC Barcelona ke Real Madrid mengeruhkan permusuhan antara kedua pasukan ini. Luis Figo pada lewat 90an, dianggap sebagai lagenda pasukan Barcelona kerana bersama pemain seperti Patrick Kluivert dan Rivaldo, jentera serangan FC Barcelona dianggap sukar digugat.

Pada tahun 2000, Luis Figo berpindah ke Real Madrid dengan harga €62 juta (RM285 juta, harga pada 2019), dan perpindahan itu membuatkan penyokong FC Barcelona mengamuk teruk atas perpindahan itu.

Insiden penyokong Barcelona membaling kepala khinzir kepada pemain itu menyemarakkan lagi kebencian antara kedua pasukan tersebut.

Persaingan antara dua kelab ini mulai dilihat dikuasai oleh FC Barcelona apabila Ronaldinho berpindah ke kelab Catalan itu dari Paris St Germain pada tahun 2003, dan kehebatan pemain Brazil itu mengagumi semua orang, termasuk peminat Real Madrid yang turut berdiri bertepuk tangan.

Pertembungan El Clasico mula menjadi lebih hangat pada dekad ini apabila dua pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masing-masing mewakili Real Madrid dan FC Barcelona.

Setiap kali dua pemain ini beraksi dalam El Clasico, media sukan seluruh dunia memberi tumpuan yang hangat kepada pertembungan ini, disamping dua pemain ini.

Selepas Cristiano Ronaldo berpindah ke Juventus, tumpuan hanya tertumpu kepada pemain FC Barcelona, Lionel Messi. Pun begitu, Real Madrid baru sahaja membeli pemain dari Chelsea, Eden Hazard dan dijangka cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo.

Dekad ini juga menyaksikan kedua pasukan ini menguasai bolasepak Eropah, dengan FC Barcelona menjuarai UEFA Champions League pada tahun 2009, 2011 dan 2015, sementara Real Madrid pula pada tahun 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Selain Luis Figo, pemain yang pernah bermain di kedua-dua pasukan ialah Samuel Eto’o, Luis Enrique, Javier Saviola, Ronaldo (Brazil), Georghe Hagi dan Michael Landrup.

Untuk rekod, mereka telah bertemu sebanyak 275 perlawanan, dengan Barcelona memenangi 116 perlawanan, Real Madrid sebanyak 99 perlawanan serta 61 seri. Namun jika dikira dalam rekod perlawanan kompetitif, ia lebih sengit.

Real Madrid memenangi 95 perlawanan, sementara FC Barcelona memenangi 96 perlawanan, serta 51 kali seri.