Ekstradisi Mun Chol Myong, Korea Utara Putus Hubungan Dengan Malaysia

Baru-baru ini, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Korea Utara membuat keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Mahkamah Persekutuan Malaysia telah memutuskan pada 9 Mac lalu bahawa seorang rakyat Korea Utara bernama Mun Chol Myong akan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan mengedarkan barangan berjenama secara haram.

Untuk pengetahuan anda, Chol Myong telah ditangkap pada tahun 2019 selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menuduhnya mencuci wang melalui front company dan membantu penghantaran pelbagai barangan mewah secara haram dari Singapura ke Korea Utara.

Memetik laporan The Diplomat, Chol Myong bagaimanapun menafikan semua tuduhan yang dibacakan terhadap dirinya. Lelaki itu menggambarkan diri sendiri sebagai mangsa permintaan ekstradisi yang bermotifkan politik.

Sebelum permohonan ekstradisi dari Washington, Chol Myong tinggal di Malaysia selama lebih 10 tahun bersama keluarganya sebelum lelaki ini ditahan pada Mei 2019.

Sumber: Bloomberg

Dalam pada itu, Kementerian Luar Korea Utara mendakwa keputusan Malaysia untuk menghantar salah seorang rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat sebagai satu tindakan jenayah dan kejahatan yang tidak boleh dimaafkan.

Satu kenyataan yang ditulis di KCNA berbunyi, “Tindakan Malaysia telah menghancurkan seluruh landasan hubungan dua hala berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan.”

Buat anda yang masih keliru, hubungan erat antara Malaysia dengan Korea Utara semakin merosot selepas abang pemimpin Kim Jong-un iaitu Jong-nam menghembuskan nafas terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017.

“Kami telah memberi amaran terlebih dahulu bahawa Amerika Syarikat iaitu manipulator di belakang pentas dan punca utama kejadian ini berlaku juga harus membayar harganya,” lapor KCNA.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Korea Utara, anda boleh klik pada pautan di bawah: